23 sukarelawan Malaysia dijangka pulang dalam 48 jam

23 sukarelawan Malaysia dijangka pulang dalam 48 jam

Ia selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta bantuan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan membawa pulang rakyat Malaysia menggunakan pesawat khas negara itu.

delegasi malaysia sumud flotilla
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara Sani Araby Abdul Alim Araby berkata 23 rakyat Malaysia itu dijadualkan pulang sama ada menerusi Ankara atau Istanbul, hasil usaha bersama Turki dan Putrajaya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rakyat Malaysia dan ahli keluarga 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel sejak Khamis lalu ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) mungkin boleh menarik nafas lega apabila mendapat perkhabaran mereka dijangka diterbangkan dari Ashdod dalam tempoh 48 jam.

Perkembangan baik itu susulan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meminta bantuan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membawa pulang rakyat Malaysia menggunakan pesawat khas negara itu, selain ribuan rakyat menyertai perhimpunan Solidariti Free Sumud Flotilla serta menunaikan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata kumpulan sukarelawan itu dijadualkan pulang sama ada menerusi Ankara atau Istanbul, hasil usaha bersama Turki dan Malaysia.

“Dengan usaha yang dimainkan perdana menteri dan presiden Turki, SNCC menjangkakan fasa untuk menerbangkan mereka dari Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Malaysia dan Turki dijangka menjadi antara negara pertama yang akan membawa pulang rakyat masing-masing.

Terdahulu, Anwar berhubung dengan Erdogan untuk menerbangkan rakyat Malaysia dan Turki susulan perkembangan positif hasil perbincangan diplomatik beberapa pemimpin utama dunia, termasuk Erdogan, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio.

Anwar turut menyifatkan tuduhan Israel melabelkan aktivis misi GSF sebagai pengganas biadab susulan kenyataan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir dalam sebuah video.

Tegasnya, pelayaran GSF ke Gaza ialah misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Palestin ditindas rejim Zionis, yang hakikatnya merupakan pengganas sebenar.

Terdahulu, ribuan peserta Himpunan Solidariti Free Sumud Flotilla berarak dari Bangunan Tabung Haji ke Kedutaan AS selepas solat Jumaat untuk menyerahkan memorandum tiga tuntutan berhubung isu Palestin, sekali gus menjadi saluran diplomatik kepada suara solidariti rakyat Malaysia yang turut dizahirkan melalui himpunan di seluruh negara, termasuk gerakan akar umbi di Sabah.

Gelombang sokongan menjalar ke seluruh negara menerusi solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di masjid utama, antaranya di Pahang, Sabah, Perak dan Melaka.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyifatkan GSF misi kemanusiaan murni yang menzahirkan semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu rakyat Gaza, khususnya warga emas, wanita dan kanak-kanak.

Baginda bertitah, sukarelawan termasuk rakyat Malaysia sanggup menanggung risiko demi membawa mesej kemanusiaan, namun usaha mereka dihalang dan ditahan biarpun hanya membawa bekalan makanan.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah atas kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin yang lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami yang lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.