23 aktivis Malaysia ditahan Israel dalam perjalanan pulang, kata PM

23 aktivis Malaysia ditahan Israel dalam perjalanan pulang, kata PM

Perdana menteri berkata kumpulan itu akan menaiki penerbangan pesawat khas ke Istanbul sebelum dibawa pulang ke tanah air.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua 23 rakyat Malaysia itu akan pulang esok atau lusa selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua 23 aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) akan dibebaskan dan dibawa keluar dari negara itu hari ini.

Anwar berkata kumpulan itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ramon di Selatan Israel untuk menaiki pesawat khas ke Istanbul, Turki sebelum dibawa pulang ke tanah air.

“Rundingan saya dengan ketua perisikan Malaysia dan Duta Besar Malaysia di Ankara, adalah lebih baik mereka menginap di Istanbul untuk pemeriksaan kesihatan.

“Saya setuju mereka akan berlepas pulang mungkin esok malam (Ahad) atau lusa (Isnin). Itu kita sedang aturkan,” katanya katanya pada satu siaran langsung di Facebook.

Anwar berkata kejayaan rundingan pembebasan sukarelawan itu dicapai selepas perbincangan diplomatik intensif yang melibatkan Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, utusan khas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Steve Witkoff, Setiausaha Negara AS Mike Rubio, serta pegawai-pegawai Qatar dan Turkiye.

Katanya, rundingan itu juga mendapat kerjasama penuh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata misi GSF, walaupun penuh cabaran, telah mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran global mengenai sekatan Israel ke atas Gaza.

“Tidak mudah untuk sampai ke Gaza di bawah rejim penjajahan Israel. Tetapi mereka (GSF) memberi sumbangan besar dan kesedaran kepada ratusan juta penduduk dunia bahawa Israel tidak hanya menentang kelompok yang didakwa ganas, malah turut melarang keras apa jua bantuan kemanusiaan,” katanya.

Misi GSF itu melibatkan lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, yang belayar menuju Gaza untuk menghantar bekalan makanan serta perubatan penting dan menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan Israel.

Hampir semua kapal GSF dipintas oleh tentera Israel, dan semua aktivis dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel sebelum urusan pembebasan mereka dimuktamadkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.