
Presiden Bersatu berkata, lembaga disiplin diberikan mandat penuh untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil dan telus berlandaskan perlembagaan parti.
“Sebarang tindakan luar daripada saluran tersebut hanya akan melemahkan parti dan memberi ruang kepada musuh politik kita.
“Justeru, saya minta semua ahli memberi ruang dan kepercayaan kepada proses ini berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengingatkan ahli tidak membiarkan sebarang cabaran dalam mengalih perhatian daripada matlamat memperkukuh gabungan itu serta membela kepentingan rakyat.
“Seluruh ahli wajar terus berdiri teguh, saling menyokong dan menzahirkan kesetiaan kepada perjuangan parti. Saat inilah kita diuji, dan saya yakin dengan kesabaran serta disiplin, kita akan keluar daripada cabaran ini lebih kuat, lebih utuh dan lebih bersatu,” katanya.
Isnin lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Wan Saiful Wan Jan, mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi ‘video’ didakwa membabitkan dirinya belum selesai kerana skandal moral tidak boleh diterima dalam parti itu.
Wan Saiful juga mendakwa, dua ketua bahagian iaitu Suhaimi Ghazali dan Shukri Mustafa diugut tidak akan dapat watikah calon pilihan raya jika tidak menarik balik akuan berkanun (SD) yang didakwa mahu menjatuhkan Muhyiddin, ketika perjumpaan bersama Azmin pada 19 Ogos.
Susulan itu, wujud desakan dalam kalangan akar umbi supaya tindakan disiplin diambil terhadap Wan Saiful.
Pada 2019, beberapa klip video tular didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan songsang di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.
Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR Santubong ketika itu mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.
Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan akan bersidang dalam masa terdekat bagi meneliti semua laporan serta aduan membabitkan beberapa ahli parti.