Malaysia mohon bantuan Turki bawa 23 aktivis GSF keluar dari Israel

Malaysia mohon bantuan Turki bawa 23 aktivis GSF keluar dari Israel

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata proses membawa pulang dijangka ambil masa dua atau tiga hari jika semua rundingan berjalan lancar.

delegasi malaysia sumud flotilla
Seramai 23 aktivis Global Sumud Flotilla dari Malaysia ditahan tentera Israel. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia memohon bantuan Turki membawa keluar 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Malaysia juga sedang menggembleng segala usaha diplomasi dengan negara sahabat termasuk Qatar bagi menyelamatkan mereka yang ditahan.

Katanya, beliau menghubungi dan bercakap dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi tersebut.

Anwar berkata, beliau turut berhubung dengan Amerika Syarikat (AS) termasuk bekas setiausaha negara, Antony Blinken serta Duta Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, bagi membantu menyelaras perjanjian berkaitan.

“Saya telah memohon jasa baik Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan supaya pesawat khas yang akan membawa pulang rakyat Turki dari Israel ke Istanbul turut mengambil rakyat Malaysia.

“Dari Istanbul…insya-Allah kita akan bawa mereka pulang,” katanya ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Bangsar.

Beliau berkata, proses membawa pulang peserta GSF dijangka mengambil masa dua atau tiga hari jika semua rundingan berjalan lancar.

“Dari pagi tadi beberapa persefahaman telah dicapai, kita juga telah minta jangan ganggu rakyat kita, jangan dera mereka, memang kita tahu penjara tempat penderaan, saya tahu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Mereka adalah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma) serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).

Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).

Dalam pada itu, Anwar mempertahankan aktivis GSF daripada tuduhan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, yang dikatakan melabel mereka ‘pengganas’.

“Mereka ini ini tak bawa senjata, tak bunuh orang. Mereka bawa makanan, minuman dan perubatan. Bagaimana boleh panggil pengganas? Ini satu kenyataan biadab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.