Himpunan solidariti GSF kecoh, peserta baling telur

Himpunan solidariti GSF kecoh, peserta baling telur

Perhimpunan bermula aman tetapi jadi kecoh selepas beberapa peserta mendesak polis alih sekatan menuju ke kedutaan AS.

Kawalan keselamatan di hadapan kedutaan AS di Kuala Lumpur diperketatkan dengan kehadiran anggota FRU. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perhimpunan solidariti Global Sumud Flotilla (GSF) di Kuala Lumpur hari ini kecoh apabila berlaku insiden tolak menolak antara peserta dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang menghalang mereka daripada berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Perhimpunan itu pada mulanya berlangsung secara aman tetapi menjadi kecoh selepas beberapa peserta mula menjerit ke arah polis dan menuntut sekatan menuju ke kedutaan dialihkan, lapor Utusan Malaysia.

Beberapa individu juga dilihat membaling telur ke arah pagar kedutaan manakala berlaku tolak menolak antara pasukan FRU dengan peserta.

Polis berjaya meredakan keadaan tanpa sebarang tangkapan dan menggesa peserta perhimpunan supaya bertenang.

Ribuan orang dilaporkan berkumpul di bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sekitar jam 2 petang sebelum berarak menuju ke kedutaan AS untuk membantah tindakan tentera Israel memintas GSF di Laut Mediterranean.

Protes di hadapan kedutaan AS bermula sejak semalam, dengan polis menahan dua peserta kerana didakwa menghalang anggota menjalankan tugas. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Hari ini, kawalan polis di hadapan kedutaan AS lebih diperketatkan, dengan anggota FRU turut dikerahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.