‘Tengah tunggu nama’, Zaliha ulas lantikan ahli lembaga pengarah YWP

‘Tengah tunggu nama’, Zaliha ulas lantikan ahli lembaga pengarah YWP

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata lantikan akan terus dibuat apabila beliau mendapat nama calon Umno itu.

Dr Zaliha Mustafa
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata ketika ini tugas lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjalan seperti biasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menunggu Umno mengemukakan nama calon bagi jawatan lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau berkata, tugas YWP berjalan seperti biasa meskipun tanpa nama itu buat masa ini.

“Masih tengah menunggu (kemuka nama calon). Apabila sampai nama itu pada saya akan terus buat lantikan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Sesi 2025-2028.

17 Sept lalu, Zaliha dilaporkan berkata beliau telah menghubungi Johari Ghani selaku ketua Umno Wilayah Persekutuan untuk menamakan calon baharu yang sesuai, susulan peletakan jawatan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

Sebelum itu, ketua Umno Batu itu mengumumkan keputusan berundur kerana Umno Batu memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan (WP).

Dakwa Gulam, wujud layanan tidak adil antaranya PH gagal menunaikan janji memberikan satu daripada enam sub zon Majlis Perwakilan Penduduk di bahagian Batu kepada Umno Batu, serta membatalkan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian Umno WP untuk membincangkan isu berbangkit.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu khemah bazar Deepavali ‘rapuh’ di Brickfields, Zaliha berkata berlaku masalah komunikasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Bank Rakyat.

Namun, beliau berkata semua telahpun selesai, malah ia akan diganti dengan khemah bersaiz lebih besar dan kukuh pada malam ini.

Semalam, Timbalan Presiden MIC M Saravanan menzahirkan tidak puas hati terhadap beberapa khemah roboh di kawasan itu selepas tiupan angin dan hujan kecil, selain mengkritik lokasi khemah di jalan utama yang terkenal dengan kesesakan trafik.

Terdahulu, Zaliha ketika berucap turut mengumumkan Kabinet meluluskan elaun tetap bulanan kepada timbalan pengerusi zon (RM1,000) dan setiausaha zon (RM750) bagi memperkukuh gerak kerja MPPWP.

Pada masa sama katanya, geran aktiviti juga akan dinaikkan kepada RM60,000 (zon) dan RM25,000 (sub zon).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.