STAR berisiko berpecah jika keluar GRS, kata penganalisis

STAR berisiko berpecah jika keluar GRS, kata penganalisis

Lee Kuok Tiung dan Awang Azman Pawi berkata Presiden STAR Jeffrey Kitingan mungkin tidak mendapat sokongan semua enam Adunnya untuk keluar daripada gabungan pemerintah.

Presiden STAR Jeffrey Kitingan telah mengancam untuk ‘bergerak solo’ jika rakan-rakannya tidak bersetuju dengan keputusannya meninggalkan GRS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik memberi amaran kepada Jeffrey Kitingan bahawa langkah membawa keluar Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menyebabkan partinya berpecah dua.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah menjangkakan sebahagian besar pemimpin dan ahli STAR lebih cenderung untuk kekal bersama gabungan pemerintah negeri itu, meskipun GRS mempunyai pakatan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN akan datang.

Lee Kuok Tiung
Lee Kuok Tiung.

“Jika STAR keluar dari GRS pada ketika ini, ia hanya akan menyebabkan perpecahan dalam parti kerana sebahagian penyokong dan Adun mereka akan kekal bersama GRS melalui ‘keahlian langsung’ di bawah gabungan tersebut.

“Kita tidak boleh lupa bahawa GRS membenarkan keahlian sebegitu,” katanya kepada FMT.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya turut bersetuju, malah meragui sama ada Kitingan akan mendapat sokongan penuh enam Adun STAR untuk meninggalkan GRS.

“Ia bergantung kepada kesediaan Adun untuk akur, tekanan politik atau tawaran yang boleh diberikan GRS atau PH, serta kesan politik jika keluar daripada GRS,” katanya.

Lee turut mempersoalkan masa Kitingan mengemukakan kata putus kepada GRS – sama ada untuk membatalkan pakatan dengan PH atau melihat STAR meninggalkan gabungan – sedangkan partinya selama ini selesa bekerjasama dalam gabungan tersebut.

Beliau meragui STAR berani bergerak solo atau mencari rakan baharu untuk pilihan raya.

“Selama ini mereka selesa bekerjasama dengan GRS, jadi mengapa tiba-tiba mahu keluar pada saat-saat akhir?” katanya.

Semalam, Kitingan berkata STAR akan menarik diri daripada GRS jika gabungan itu meneruskan pakatan dengan PH, sambil menambah bahawa pendirian tersebut berpaksikan sentimen akar umbi.

Timbalan pengerusi GRS itu berkata beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat majlis presiden gabungan yang diadakan malam tadi.

Beliau juga menegaskan bahawa beliau sanggup ‘bergerak solo’ jika Adun dan pemimpin STAR lain tidak bersetuju dengan keputusannya untuk meninggalkan GRS.

 Kekuatan STAR terbatas

Awang Azman berkata Kitingan mungkin terlebih yakin terhadap dirinya dan STAR, meskipun beliau merupakan ahli politik Sabah berprofil tinggi dengan hubungan kuat dengan Bumiputera, khususnya komuniti Kadazandusun Murut (KDM).

Katanya, Kitingan mungkin mahu bergantung kepada gelombang sentimen ‘Sabah first’ dengan membawa naratif menolak ‘campur tangan Semenanjung’, namun bergerak solo adalah cabaran besar.

“Kekuatan sebenar STAR ada batasnya. Keupayaan organisasinya di seluruh negeri mungkin tidak sebesar parti nasional atau gabungan besar. Dengan pertandingan pelbagai penjuru yang bakal berlaku, kemenangan secara solo amat sukar dicapai.

“Pengundi atas pagar lebih bersifat pragmatik, menilai calon berdasarkan pembangunan. Atau mungkin mereka akan memilih calon yang lebih stabil atau mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan persekutuan (bagi menjamin pembangunan di kawasan mereka),” katanya.

Paling kuat sekalipun, STAR hanya mampu mempertahankan beberapa kerusi dan meletakkan diri sebagai ‘pemain kecil yang kuat’ di kawasan tertentu. Namun, ia tidak berupaya membentuk kerajaan negeri sendiri.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Bagaimanapun Awang Azman berkata, ancaman Kitingan itu mungkin bukan sekadar cakap kosong, khususnya selepas Ahli Parlimen lima penggal itu menyatakan kesediaannya untuk ‘bergerak solo’ walaupun pemimpin STAR lain tidak mengikutinya.

“Ia mencerminkan kesanggupan menanggung kesan politik bersendirian. Sebelum ini, beliau berulang kali memberi bayangan mahu keluar dari GRS atas isu-isu yang dianggap menjejaskan autonomi Sabah.”

Beliau turut berkata tidak mustahil STAR bergerak solo dalam PRN tetapi kembali bekerjasama dengan GRS selepas keputusan diumumkan, sebagai langkah taktikal untuk meraih sokongan mereka yang tidak bersetuju dengan pakatan bersama PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.