
Beliau berkata, usaha itu susulan perkembangan terbaru berhubung tindakan rejim Zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan memintas serta menahan pasukan GSF secara tidak sah.
“Doa dan solidariti rakyat Malaysia amat penting dalam menghadapi saat getir ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Fahmi turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempertingkat pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik itu di ruang siber Malaysia.
“Tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam,” katanya.
Fahmi turut menyeru seluruh rakyat Malaysia merujuk maklumat dikeluarkan Kementerian Luar dan sumber rasmi termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre dikendalikan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi mengelak penyebaran berita palsu atau tidak sahih.
Setakat 7.50 pagi tadi, dilaporkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu ditahan secara tidak sah oleh Israel ketika pelayaran pasukan GSF memasuki zon merah di perairan Gaza.