Perlu bincang mengenai MoU sebelum ini, kata PBS lepas STAR keluar GRS

Perlu bincang mengenai MoU sebelum ini, kata PBS lepas STAR keluar GRS

Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai berkata MoU dimeterai pada 2024 masih berkuat kuasa sehingga kedua-dua parti secara bersama menggantung atau membubarkannya.

pairin
MoU itu ditandatangani pada 18 April 2024 oleh Presiden STAR Jeffrey Kitingan (dua dari kanan) dan pemangku presiden PBS Joachim Gunsalam (kedua dari kiri), yang kedua-duanya adalah timbalan ketua menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) perlu mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 2024, susulan pengunduran STAR daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai, berkata perjanjian dimeterai berkenaan kekal berkuat kuasa sehingga kedua-dua pihak bersetuju secara bersama menggantung atau membubarkannya.

Beliau juga menyatakan antara objektif utama MoU itu adalah terus mengukuhkan gabungan GRS.

“Saya percaya satu pertemuan antara kedua-dua pihak perlu diadakan kerana Fasal 5 MoU itu menyatakan ‘MoU itu mengikat kepada pihak-pihak (PBS dan STAR) sehingga mereka bersetuju secara bersama untuk menggantung dan/atau membubarkannya’.”

“Perlu juga dinyatakan antara objektif MoU itu adalah membantu mengukuhkan lagi GRS kerana STAR juga ahli komponen gabungan itu (sebelum keahlian tamat),” katanya kepada FMT.

MoU tersebut ditandatangani pada 18 April 2024 oleh Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan pemangku presiden PBS, Joachim Gunsalam, yang kedua-duanya adalah timbalan ketua menteri.

Kitingan ketika itu menyatakan perjanjian berkenaan mendapat sokongan penuh daripada pengerusi GRS dan Ketua Menteri Hajiji Noor dan bahawa ia akan memastikan kedua-dua parti berasaskan Kadazandusun Murut itu tidak akan bertembung pada PRN akan datang.

Hari ini, GRS mengesahkan STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP) telah meninggalkan gabungan itu kerana tidak bersetuju dengan pakatan pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH).

Kitingan berhujah bahawa GRS harus bertanding solo pada PRN, sambil menyatakan bahawa ia berdasarkan sentimen akar umbi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.