Peguam Malaysia ke Jordan runding pembebasan sukarelawan GSF

Peguam Malaysia ke Jordan runding pembebasan sukarelawan GSF

Pasukan peguam itu terdiri daripada Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Dir Kheizwan Kamaruddin, Luqman Mazlan dan Ahmad Nazri Abu Bakar.

Senarai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai konvoi kemanusiaan GSF ke Gaza dan empat lagi menaiki kapal pemerhati. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepasukan peguam dari Malaysia tiba di Jordan untuk berunding pembebasan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel.

Fahmi Abd Moin berkata, beliau bersama empat lagi peguam dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) tiba di Amman 1 tengah hari semalam (waktu tempatan).

“Saya bersama peguam Azril Mohd Amin, Dir Kheizwan Kamaruddin, Luqman Mazlan dan Ahmad Nazri Abu Bakar.

“Kami sedang sediakan kenyataan rasmi,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai konvoi kemanusiaan GSF dilaporkan ditahan tentera Zionis di perairan Gaza pagi tadi.

Mereka ialah penyanyi Zizi Kirana, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin, Rusydi Ramli, Farah Lee dan Danish Nazram.

Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.

Sistem pengesan SNCC melaporkan 10 kapal berada pada status “diserang” dan 13 lagi menghantar isyarat “kecemasan”.

Sementara itu, 30 kapal GSF meneruskan pelayaran menuju Gaza, walaupun tentera laut Israel berulang kali cuba memintas mereka.

Menurut kemas kini di Telegram GSF pada 8.45 pagi tadi (waktu Malaysia), kapal itu hanya 46 batu nautika dari pesisir Gaza dan masih berlayar walaupun berdepan tindakan agresif tentera laut Israel.

Katanya, tindakan haram tentera Israel tidak akan melemahkan semangat mereka untuk meneruskan misi memecah kepungan dan membuka laluan kemanusiaan.

Seramai 23 sukarelawan Malaysia menyertai konvoi pelayaran ke Gaza dan empat lagi menaiki kapal pemerhati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.