Pasangan warga emas ditemukan meninggal dunia

Pasangan warga emas ditemukan meninggal dunia

Kedua-duanya dilapor tidak sedarkan diri di rumah sebelum disahkan tidak bernyawa.

Abang Zainal Abidin Abang Ahmad
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata penemuan suami isteri itu diklasifikasikan mati mengejut. (Gambar Bernama)
IPOH:
Suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka di Desa Lang Indah, pagi tadi.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.58 pagi daripada seorang lelaki, memaklumkan terdapat individu tidak sedarkan diri di rumah berkenaan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pihak polis mendapati kedua-dua mangsa iaitu Ooi Kock Hooi dan isteri, Wong Pow Choo, masing-masing berusia 78 tahun, sudah tidak bernyawa.

“Siasatan awal mendapati pasangan itu tinggal bersama seorang cucu, namun cucu berkenaan tidak pulang sejak 24 Sept, kerana tinggal di asrama dan memaklumkan kedua-duanya dalam keadaan baik sebelum ini.

“Kedua-duanya ditemukan dalam bilik rumah dan difahamkan mangsa wanita menghidap penyakit parkinson sejak lima tahun lepas serta dijaga oleh suaminya,” katanya dalam kenyataan.

Abang Zainal Abidin berkata, pemeriksaan di tempat kejadian yang merupakan rumah teres dua tingkat mendapati tiada sebarang unsur pecah masuk, kesan pergelutan atau unsur jenayah lain.

“Kematian pasangan itu disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 9.45 pagi dan mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.