Muhyiddin berpengalaman, mampu bawa Bersatu buat keputusan besar, kata Peja

Muhyiddin berpengalaman, mampu bawa Bersatu buat keputusan besar, kata Peja

Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu tetap utuh walau diuji kemelut dalaman dan akan bangkit lebih kuat.

Muhyiddin Yassin
Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu berkata walaupun Bersatu baru berusia sembilan tahun pengalaman dimiliki membolehkan mereka membuat keputusan besar bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Ahmad Faizal Azumu mempertahankan kepimpinan Bersatu diterajui Muhyiddin Yassin ‘di tengah-tengah kemelut dalaman’ yang melanda parti itu.

Naib presiden Bersatu berkata, walaupun parti baru berusia sembilan tahun, pengalaman dimiliki membolehkan mereka membuat keputusan besar bawah kepimpinan Muhyiddin.

“Usia mudanya bukan penghalang untuk membuat pelbagai keputusan besar dengan kepimpinan Muhyiddin yang amat berpengalaman,” katanya dalam kenyataan.

Faizal lebih dikenali Peja berkata, walaupun Bersatu sedang berdepan kemelut parti itu tetap komited memperjuangkan nasib rakyat.

“Kami berdepan dengan pelbagai masalah rakyat akibat kelemahan pentadbiran kerajaan. Kami akan terus memberikan penumpuan kepada bebanan ekonomi yang menghimpit kehidupan rakyat.

“Berkat doa, usaha tanpa penat lelah kesemua pemimpin kami di semua peringkat, Bersatu akan bangkit dengan lebih berjaya. Bersatu bakal memimpin negara dan mengemudi kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, kemelut dihadapi Bersatu ketika ini bukan perkara baharu kerana parti sudah melalui pelbagai ujian getir sejak penubuhan pada 2017.

“Sejak awal penubuhannya, Bersatu telah diuji dengan begitu banyak ujian getir yang memeritkan. Walaupun Bersatu tertubuh dari semangat cintakan negara dan perjuangan menentang rasuah, salah guna kuasa pimpinan kerajaan yang melampau serta keazaman mempertahan kedaulatan perlembagaan negara, terdapat kalangan kami yang tersimpang di perjalanan akibat tekanan atau habuan.

“Pemimpin bersilih ganti, namun perjuangannya kekal utuh. Bersatu terus membesar sehingga kini ahlinya di seluruh negara mencapai angka yang memberangsangkan,” katanya.

Walaupun tidak menyatakan secara terbuka kemelut sedang dihadapi, kenyataan Faizal hadir susulan kritikan kontroversi oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Wan Saiful Wan Jan, yang mendakwa Azmin Ali tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi ‘video’ belum diselesaikan, kerana skandal moral tidak boleh diterima dalam parti itu.

Pada 2019, beberapa klip video tular didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan songsang di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.

Susulan kritikan terbuka Wan Saiful, beberapa pemimpin Bersatu mendesak Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dikenakan tindakan disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.