
Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS, semalam dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor yang juga pengerusi gabungan itu.
“Mesyuarat sebulat suara memutuskan mana-mana parti memilih bertanding menggunakan lambang sendiri tidak lagi dianggap sebagai komponen GRS.
“Dengan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS tamat secara rasmi,” katanya dalam kenyataan.
Masidi menjelaskan keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo dibuat kerana enggan terikat dengan formula agihan kerusi yang sedang dimuktamadkan antara GRS dan PH.
“Ini bermakna kedua-dua parti itu berpotensi meletakkan calon di kerusi yang turut ditandingi Pakatan Harapan (PH),” katanya yang turut menjelaskan mesyuarat itu juga membincangkan agihan kerusi dengan rakan kerjasamanya.
Masidi berkata Hajiji dalam mesyuarat itu mengingatkan semua parti komponen menghormati persetujuan kerjasama dengan PH, selain memastikan kesatuan GRS diperkukuh melalui penggunaan satu lambang dalam PRN.
Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Yong Teck Lee, dalam mesyuarat itu turut menyatakan mereka tetap menghormati pendirian rakan komponen lain yang mahu terus bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH.
Mesyuarat turut dihadiri pimpinan utama parti komponen lain iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).