Gerakan terperangkap dalam PN, tiada daya jadi ‘kuasa ketiga’

Gerakan terperangkap dalam PN, tiada daya jadi ‘kuasa ketiga’

Gerakan, seperti MCA dan MIC, secara bersendirian akan bergelut untuk menarik sokongan bukan Melayu, maka keluar PN hanya akan menyebabkannya terawang-awang.

Kejatuhan Gerakan bermula pada PRU 2008, apabila ia tewas di Pulau Pinang — kubu kuatnya selama hampir empat dekad — kepada DAP. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tindakan Presiden Gerakan, Dominic Lau, menolak cadangan meletakkan parti itu sebagai “kuasa ketiga” menepati hakikat Gerakan hanya boleh bertahan sekiranya ia sebahagian gabungan yang besar, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Gerakan mesti memastikan ia berada dalam kedudukan yang memberikan ia pengaruh — sesuatu yang hanya ditawarkan oleh gabungan seperti Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata Gerakan, seperti MCA dan MIC, secara bersendirian akan bergelut untuk menarik sokongan bukan Melayu, maka keluar PN hanya akan menyebabkannya terawang-awang.

“Senario politik semasa adalah antara PH-BN dan PN. Tiada kuasa ketiga atau penentu lain,” katanya kepada FMT.

Pada Ahad, Lau menolak cadangan ‘kuasa ketiga’ daripada Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Tan Zhen Zune. Lau berkata kegagalan masa lalu bukti ia akan membawa kepada kekalahan pilihan raya.

Kejatuhan Gerakan bermula pada PRU 2008, apabila ia tewas di Pulau Pinang — kubu kuatnya selama hampir empat dekad — kepada DAP.

Pada asalnya Gerakan komponen Barisan Nasional, dan meninggalkan gabungan itu pada 2018, sejurus selepas BN tewas PRU14. Ia menyertai PN tiga tahun kemudian.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata penyertaan Gerakan ke dalam PN telah melemahkan dayanya untuk menarik sokongan pelbagai etnik, menjadikan Gerakan sukar menarik pengundi bukan Melayu.

Namun, parti itu masih boleh mengukir peranan yang bermakna sebagai suara bukan Melayu dalam PN.

“Gerakan mewakili komponen bukan Melayu dalam PN. Mereka perlu menjadi suara, untuk mengimbangi isu-isu, untuk mengimbangi PAS,” tambahnya.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata parti itu harus miliki faktor pelaris yang jelas untuk meraih semula sokongan.

“Sama ada mereka bersama PN atau menjadi kuasa ketiga, apakah faktor pelaris mereka? Mereka mesti ada faktor pelaris, sesuatu yang boleh mereka pasarkan kepada pengundi,” katanya.

Kali terakhir Gerakan bertanding bersendirian pada PRK Tanjung Piai 2019, apabila calonnya Wendy Subramaniam hanya memperoleh 1,707 undi, dan tewas kepada Wee Jeck Seng dari MCA, yang memperoleh lebih 25,000 undi.

Namun, Zhe Wei berkata keputusan itu menunjukkan bahawa Gerakan “bukan parti picisan,” lantaran ia diikuti pengundi yang kecewa dengan Pakatan Harapan dan BN.

Beliau bagaimanapun berkata hubungan dengan PN, terutama PAS, telah meresahkan pengundi Cina.

“Sama seperti Pejuang, apakah faktor pelaris mereka untuk menjadi kuasa ketiga?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.