Gerakan-PAS kongsi ‘musuh sama’ di sebalik kritikan akar umbi

Gerakan-PAS kongsi ‘musuh sama’ di sebalik kritikan akar umbi

Timbalan Presiden Oh Tong Keong berkata kritikan pedas yang timbul tidak sampai memecahkan hubungan dalam PN.

oh tong keong
Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong, berkata partinya dan PAS berkongsi hasrat sama menawan tiga lagi negeri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin Gerakan menganggap kritikan pedas akar umbi PAS semasa muktamar bulan lalu tidak sampai memecahkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Oh Tong Keong, berkata hubungan bersama PAS kekal kukuh dan fokus utama gabungan itu ialah melawan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

“Mungkin ada satu dua pendapat atau pandangan yang berlainan, tetapi ia tidak menjejaskan kerjasama untuk menghadapi ‘musuh bersama’ di luar, iaitu PH-BN dan kerajaan Madani. PN memang berhasrat tinggi menawan tiga buah negeri lagi, iaitu Perak, Selangor, dan Pahang.

“…apa yang lebih penting adalah menawan Putrajaya sebagai matlamat bersama PN. Jadi, kami akan menumpukan segala tenaga dan usaha menuju kejayaan bersama dan bukannya bergaduh sehingga berpecah dalam PN,” katanya kepada FMT.

Pada Muktamar PAS baru-baru ini, beberapa perwakilan termasuk Timbalan Ketua Pemuda Pulau Pinang, Hafis Alias mengkritik Gerakan.

Hafis mendakwa Ketua PN Pulau Pinang Dominic Lau yang juga presiden Gerakan lemah dari segi kepimpinan dan gagal menyatukan Bersatu serta PAS di peringkat negeri.

Guna logo Gerakan belum muktamad

Mengulas cadangan pemimpin Gerakan Pulau Pinang yang mahu menggunakan logo sendiri pada PRU16, Oh berkata perkara itu akan dibincangkan pimpinan tertinggi sebelum ia dimuktamadkan.

“Itu hanyalah cadangan dari kedua-dua sayap Gerakan Pulau Pinang, iaitu Wanita dan Pemuda.

“Bagaimanapun, kami bertindak mengikut keputusan yang dibuat jawatankuasa pusat,” katanya.

Oh berkata, logo Gerakan mempunyai sejarah tersendiri kerana pernah menumpaskan Perikatan pada 1969, pada PRN Pulau Pinang.

“Jadi, logo Gerakan memang mempunyai sejarah dan boleh diterima. Maka, kami berharap pihak Gerakan Pusat akan berbincang lanjut dan mungkin dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.