Calon KM Sabah dinilai rekod kawasan, bukan retorik, kata penganalisis

Calon KM Sabah dinilai rekod kawasan, bukan retorik, kata penganalisis

Syahrudin Awang Ahmad berkata pemimpin gagal membangunkan kawasan sendiri berisiko menghadapi cabaran sama jika diberi mandat memimpin negeri.

Penganalisis Lee Kuok Tiung berkata Hajiji Noor dilihat mempunyai kelebihan dalam konteks politik semasa berbanding Shafie Apdal dan Bung Moktar Radin.
PETALING JAYA:
Calon ketua menteri kini berada di bawah pemerhatian kritikal rakyat, yang menilai prestasi mereka berdasarkan rekod di kawasan masing-masing, bukan sekadar retorik politik menjelang PRN Sabah, kata seorang penganalisis.

Menurut Syahrudin Awang Ahmad, keberkesanan kepimpinan seorang calon boleh diukur melalui kemampuan menangani isu asas seperti jalan rosak, bekalan air dan kemudahan pendidikan di peringkat DUN atau Parlimen.

Penyelidik di Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) itu berkata pengundi akan menilai secara telus sejauh mana wakil rakyat mereka telah menyelesaikan masalah infrastruktur dan ekonomi tempatan untuk mengelakkan liabiliti apabila menjadi pentadbir.

“Seorang calon gagal membangunkan kawasan sendiri berisiko menghadapi cabaran sama jika diberi mandat memimpin negeri,” katanya kepada FMT.

Rekod Shafie, Bung dipersoal

Dalam konteks itu, Syahrudin berkata Presiden Warisan Shafie Apdal dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dilihat mungkin bergelut selain bakal berdepan persoalan berhubung kemampuan menjadi ketua menteri.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu telah menjadi wakil rakyat sejak era 90-an serta pernah memegang jawatan kanan di Putrajaya dan negeri.

Shafie, Ahli Parlimen Semporna dan Adun Senallang, pernah menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2009 hingga 2015, selain mengetuai pentadbiran kerajaan Sabah dari Mei 2018 hingga September 2020.

Bung Moktar, yang mewakili Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, pula pernah memegang portfolio menteri kerja raya yang antaranya berperanan memantau serta menyelenggara jalan Sabah dari September 2020 hingga Januari 2023.

Isu kemudahan asas kekal berulang

“Bung telah menjadi Ahli Parlimen sejak sekian lama, namun kawasan beliau masih dibelenggu isu jalan raya berkualiti rendah dan bekalan air tidak memuaskan seperti dilaporkan media.

“Kritikan ini mencerminkan kegagalan wakil rakyat menyelesaikan isu asas, walaupun mereka berpeluang besar menyalurkan peruntukan pembangunan. Keadaan ini boleh menjejaskan naratif kepimpinan BN Sabah,” katanya.

Jelasnya, Shafie juga dilihat berdepan kritikan dalam menyelesaikan isu kemiskinan, kemudahan asas, malah kebersihan bandar Semporna yang turut dibangkitkan pelancong.

“Ia berisiko dilihat sebagai kegagalan berterusan, walaupun beliau pernah menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah serta ketua menteri,” katanya.

Syahrudin berkata, percanggahan antara kedudukan kuasa tinggi dan kegagalan menyelesaikan isu tempatan berpotensi menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi, khususnya pengundi muda dan atas pagar.

“Jika pemimpin utama gagal mengurus ‘rumah’ sendiri, bagaimana mereka mampu mengurus negeri secara menyeluruh?” jelasnya.

Media sosial buka mata pengundi

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata isu dihadapi Shafie dan Bung Moktar bukanlah perkara baharu, tetapi menjadi lebih ketara susulan pendedahan di media sosial.

“Cabaran mereka bertambah sukar dengan fenomena globalisasi, yang membolehkan pengundi menilai keadaan di kawasan dan membuat perbandingan,” katanya.

Menurut Lee, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dilihat mempunyai kelebihan dalam konteks politik semasa, mengambil kira kemampuannya berdepan cabaran seperti Langkah Kinabalu yang cuba menjatuhkannya.

“Beliau tidak berganjak daripada prinsip dan pendiriannya meskipun PMX (Anwar Ibrahim) dan TPM (Zahid Hamidi) turun ke Sabah untuk berunding.

“Menerusi Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dirancangnya, banyak pembaharuan dan program telah dilaksanakan, memberi kesan langsung kepada penduduk negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.