Bot penumpang awam layak nikmati subsidi BUDI95 atau SKPS

Bot penumpang awam layak nikmati subsidi BUDI95 atau SKPS

Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata pelaksanaan tertakluk mekanisme akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Minyak PETROL RON 95
Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi lain bagi mengenal pasti pemilik bot berdaftar untuk pemberian subsidi RON95.
KUALA LUMPUR:
Pengusaha bot penumpang awam layak menerima subsidi sama ada bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, ia dipersetujui melalui perbincangan kementeriannya dengan Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini dan pelaksanaan tertakluk mekanisme akan dimaklumkan dalam masa terdekat .

“Secara dasarnya, perkara ini adalah tertakluk kepada bot-bot yang didaftarkan atas pemilik warganegara atau syarikat yang berdaftar.

“Kerajaan pada masa ini sedang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri yang berkaitan, termasuklah Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (bagi) mengenal pasti pemilik bot berdaftar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program My Gaya Month 2025.

Armizan berkata, kerajaan amat prihatin dengan penduduk yang menggunakan bot sebagai mod pengangkutan utama khususnya di kawasan pulau dan sungai di Sabah dan Sarawak dan sebahagian kawasan di Semenanjung.

Katanya, sebagai langkah interim pengusaha bot terbabit akan dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik tunai.

“Pengusaha wajib untuk menyimpan dan mengemukakan resit pembelian rasmi.

“KPDN telah mengaktifkan Jawatankuasa Rayuan Sistem Kawasan Diesel Bersubsidi dengan perluasan skop meliputi pelaksanaan SKPS untuk melihat isu berbangkit seumpama ini sebagaimana dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dahulu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan bersedia memperluaskan inisiatif BUDI95 yang baru diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada pengusaha bot penumpang kecil khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, dilaporkan berkata kerajaan pada dasarnya tidak melihat sebarang halangan untuk memperluaskan skim itu kepada mereka yang terbabit dalam operasi bot penumpang.

Selasa lalu, MoF mengumumkan harga tanpa subsidi RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi sepanjang Oktober, iaitu kenaikan 55 sen berbanding kadar semasa RM2.05 seliter.

Bawah inisiatif BUDI95, warganegara berusia 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati kadar subsidi, dengan pengesahan dilakukan melalui MyKad, sama seperti mekanisme pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Setiap pengguna layak menikmati 300 liter petrol RON95 bersubsidi sebulan, kecuali perkhidmatan e-panggilan yang dikecualikan daripada had itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.