
Kemalangan maut di Lebuhraya Kajang SILK itu menyebabkan seorang bayi lelaki berusia 16 bulan maut, manakala lapan individu lain cedera selepas lori muatan barangan lusuh itu merempuh empat kenderaan lain.
Agensi itu dalam kenyataan berkata, siasatan mendapati syarikat LDT Metal Trading gagal memastikan pemasangan sistem kedudukan sejagat (GPS) pada lori yang dilesenkan di bawah APAD, sekali gus melanggar syarat keselamatan asas pengendalian kenderaan perdagangan.
“Selaras dengan Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, APAD dengan ini membatalkan Lesen Pengendali LDT Metal Trading 201403193195 berkuat kuasa 2 Oktober,” kata agensi itu.
APAD menegaskan, pembatalan lesen itu bermaksud syarikat terbabit tidak lagi dibenarkan mengendali atau menggunakan mana-mana kenderaan di bawah lesen pengendali tersebut untuk tujuan perkhidmatan.
“APAD bertegas tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan atau pemanduan berbahaya yang melibatkan kenderaan pengangkutan awam darat.
“Semua pengendali berlesen diingatkan untuk sentiasa mematuhi syarat lesen ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengakibatkan lesen pengendali terbatal,” katanya.
Dalam masa sama, APAD turut mengingatkan semua pengendali berlesen agar sentiasa mematuhi syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelak insiden sama berulang.
“APAD komited mewujudkan ekosistem pengangkutan awam darat yang holistik, cekap, selamat dan berdaya saing,” katanya.