
Beliau berkata, kapal yang membawa orang awam tidak bersenjata dan bekalan kemanusiaan penting buat Gaza berdepan intimidasi serta paksaan.
Tegasnya, tindakan rejim Zionis menunjukkan sikap tidak menghormati hak rakyat Palestin dan suara hati masyarakat antarabangsa kerana misi kemanusiaan GSF melambangkan solidariti, belas kasih serta harapan bagi meringankan penderitaan penduduk Gaza.
“Malaysia akan menggunakan semua kaedah sah bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khasnya membabitkan warganegara Malaysia.
“Maruah dan keselamatan rakyat Malaysia adalah keutamaan mutlak dan kami tidak akan membiarkan ia dikompromi tanpa sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Setakat 6 pagi Khamis waktu Malaysia, lapan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan ditahan selepas kapal dinaiki mereka dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil yang menaiki kapal Huga, Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil atas kapal Alma, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin serta Rusydi Ramli atas kapal Sirius.
Aktivis hak asasi manusia terkemuka dunia, Greta Thunberg turut ditahan selepas beberapa kapal misi kemanusiaan GSF dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa pada malam Rabu.
Sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) melaporkan sembilan kapal berada pada status “diserang” dan 13 lagi menghantar isyarat “kecemasan”.
Anwar berkata, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang dinafikan aspirasi dan hak asasi mereka.
“Kami tidak akan berhenti menuntut pengakhiran kepada ketidakadilan dan penindasan yang berlarutan selama beberapa generasi.”