8 rakyat Malaysia sertai GSF ditahan tentera Israel

8 rakyat Malaysia sertai GSF ditahan tentera Israel

Zizi Kirana antara lapan aktivis yang ditahan tentera Israel setakat 6 pagi waktu Malaysia.

Global Sumud Flotilla
Kementerian Luar Israel mengesahkan beberapa kapal GSF dihentikan dengan selamat dan semua penumpangnya sedang dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel. (Gambar Global Sumud Flotilla/AP)
PETALING JAYA:
Lapan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan selepas kapal dinaiki mereka dipintas tentera laut Israel di perairan zon merah R3 di Laut Mediterranean.

Setakat 6 pagi Khamis waktu Malaysia, lapan individu itu termasuk penyanyi Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil yang menaiki kapal Huga disahkan ditahan tentera Israel.

Turut ditahan Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil atas kapal Alma, manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin serta Rusydi Ramli atas kapal Sirius.

Status lima lagi rakyat Malaysia, iaitu PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang menaiki kapal Estrella, serta Ardell Aryana atas kapal Mikeno belum diketahui.

Aktivis hak asasi manusia terkemuka dunia, Greta Thunberg turut ditahan selepas beberapa kapal misi kemanusiaan GSF dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa pada malam Rabu.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan diterima, namun delegasi GSF kekal komited meneruskan misi walaupun berdepan tindakan agresif Israel.

Sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) melaporkan sembilan kapal berada pada status “diserang” dan 13 lagi menghantar isyarat “kecemasan”.

Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby dipetik Bernama berkata, tentera Zionis melumpuhkan sistem komunikasi konvoi GSF menggunakan radar jammer dan menyerang kapal kecil bagi menghalang mereka memasuki zon merah R2 menggunakan semburan air.

Aktivis kemanusiaan di atas kapal terbabit turut berkongsi rakaman secara langsung memaparkan suasana tegang tentera Israel mengepung dan cuba melumpuhkan konvoi dalam perjalanan menghampiri pantai Gaza.

Seramai 23 aktivis Malaysia menyertai konvoi pelayaran ke Gaza itu.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel dalam kenyataan di Facebook pada Khamis mengesahkan beberapa kapal GSF dihentikan dengan selamat dan semua penumpangnya sedang dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel.

Rejim Zionis turut berkongsi keratan video menunjukkan Greta bersama beberapa peserta GSF ditahan berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu, Bernama melaporkan peserta misi kemanusiaan GSF menerima mesej “See you in jail” daripada rejim Israel yang memintas sistem radio kapal sebelum komunikasi dengan SNCC di Sepang terputus.

Nurul Hidayah Mohd Amin yang lebih dikenali Ardell Aryana dalam IG story memaklumkan tentera Israel menyekat talian Internet dan menghalang capaian komunikasi ketika Kapal Mikeno yang dinaikinya berada di zon merah R3 sejak 9 malam tadi waktu Gaza.

“Saya sedang cuba sorok telefon bimbit saya. Tentera Israel sedang sekat semua line Internet kami…dan kami sedang cuba plug in off. Saya tunggu masa untuk live semula. Doakan kami dan rakan-rakan kami,” demikian tulisnya.

Ardell berkata, peserta konvoi itu tetap berpegang teguh pada matlamat menghantar bantuan kepada penduduk Gaza walaupun dikepung rejim Zionis.

Sumud Nusantara dalam akaun TikTok rasminya memuat naik video prarakaman tujuh rakyat Malaysia disahkan ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel.

Dalam pada itu, Anadolu Ajansi melaporkan tentera Israel merempuh sebuah kapal misi GSF dan melepaskan tembakan meriam air ke arah konvoi itu, selain bertindak kasar terhadap aktivisnya.

Penganjur flotila itu, Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza dalam hantaran X menggesa campur tangan antarabangsa segera dan memberi amaran “kerajaan mesti bertindak kerana rakyat di seluruh ibu kota dunia bangkit dengan kemarahan”.

GSF yang terdiri daripada lebih 50 kapal membawa peserta dari pelbagai negara, termasuk doktor, wartawan dan aktivis bertujuan mencabar sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.