
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata tarikh baharu itu ditetapkan ketika pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahyun Yusof semalam.
“Prosiding pendengaran itu sepatutnya bermula 29 Okt ini namun dijadualkan semula kerana responden telah melantik peguam baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Isa melantik firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mewakili beliau dalam rayuan tersebut menggantikan Tetuan Salehuddin Saidin & Associates.
Sebelum ini, peguam Salehuddin Saidin mewakili Isa di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum beliau dilantik sebagai senator Dewan Negara.
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac lepas manakala petisyen rayuan dikemukakan pada 26 Jun dengan 24 alasan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf daripada segi undang-undang dan fakta ketika melepas serta membebaskan Isa daripada semua pertuduhan.
Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan S M Komathy Suppiah, sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Pada 2018, Isa, 75, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Persiaran KLCC, di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.