PAS sedia bersemuka Trump, masih mahu demo

PAS sedia bersemuka Trump, masih mahu demo

PAS sedia bersemuka Presiden Amerika Syarikat bagi menyatakan bantahan berhubung konflik di Palestin.

Donald Trump
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata bantahan terhadap Presiden AS Donald Trump berhubung situasi di Palestin merentasi kaum dan bangsa. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
PAS menyatakan kesediaan bersemuka Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menyatakan bantahan berhubung konflik di Palestin, jika beliau hadir ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean bulan ini.

Kesediaan itu di sebalik rancangan PAS untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah undangan kepada Trump untuk menghadiri persidangan blok serantau itu, dan kehadirannya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Parlimen bahawa presiden AS mengesahkan kehadiran, bulan lalu.

“Ini kita sedang mengatur. Ini merentas kaum, bangsa. Masyarakat di negara Barat mereka membuat satu bantahan protes besar apatahlah lagi kita ini Malaysia Madani, takkan nak menyambut Trump, orang yang tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin. Wajib kita turun menentang, menyatakan protes,” kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada sidang media di ibu pejabat parti.

Takiyuddin berkata, undangan kepada Trump amat dikesali, dan tidak selari semangat kemanusiaan yang didukung rakyat Malaysia.

“Apakah orang macam ini berhak mendapat jemputan ke Sidang Kemuncak Asean dalam rangka kita menjadi pengerusi Asean?” kata Takiyuddin.

Sidang Kemuncak Asean-AS ke-13 dijadual berlangsung sempena Sidang Kemuncak Asean.

Libat urus AS bersama blok yang mewakili 10 negara Asia Tenggara ini menyusuli kontroversi tarif yang Washington kenakan ke atas banyak negara, termasuk di rantau ini yang bergantung pada perdagangan.

AS tidak menolak kemungkinan tarif lebih tinggi akan dikenakan, sekiranya rundingan gagal membuahkan hasil, lapor The Star yang memetik Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer sebagai berkata, pada 25 Sept lalu.

Namun, tumpuan PAS sepenuhnya pada isu Palestin.

“Saya rasa rakyat Malaysia tak terima kerana simpati dengan Gaza. Apakah kita nak menyambut orang yang bersubahat membunuh rakyat Palestin,” katanya.

Terdahulu, Naib Pengerusi Urimai, David Marshel, menyeru PAS mendesak kerajaan mengatur pertemuan dengan presiden AS semasa beliau berada di Malaysia bagi menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap tindakan Israel di Gaza.

Anwar sebelum ini mempertahankan undangan kepada Trump, menegaskan bahawa Malaysia konsisten menyokong perjuangan Palestin dan akan terus memperjuangkan isu itu melalui saluran diplomatik.

Selain Trump, Perdana Menteri China Li Qiang dilapor mengesahkan kehadiran manakala Presiden Rusia Vladimir Putin masih mempertimbangkan undangan.

Sementara itu, Takiyuddin mengumumkan demo bantah Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar akan dilaksanakan di hadapan pusat beli-belah Sogo pada 4 Okt ini.

Katanya, pemimpin kerajaan turut diundang ke tunjuk persaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.