Kehadiran Trump perlu dilihat dalam kerangka antarabangsa, kata Ismail Sabri

Kehadiran Trump perlu dilihat dalam kerangka antarabangsa, kata Ismail Sabri

Bekas perdana menteri itu yakin kerajaan tahu tindakan akan dilakukan mereka berhubung jemputan kehadiran Donald Trump ke Malaysia, bulan depan.

Ismail Sabri Yaakob berkata kehadiran Donald Trump perlu dilihat dalam aspek antarabangsa manakala Khairy Jamaluddin beri amaran penarikan balik jemputan berisiko menyebabkan tindak balas presiden AS itu.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata isu kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia bulan ini harus dilihat dalam kerangka hubungan antarabangsa.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, aspek itu perlu dilihat memandangkan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan terikat dengan prinsip zon aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN), lapor Sinar Harian.

“Dalam isu jemputan terhadap Trump, saya percaya kepimpinan kerajaan hari ini tahu apa yang patut mereka buat.

“Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan,” katanya.

Menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Trump telah mengesahkan kehadiran Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

Selain AS, Sidang kemuncak itu juga bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota Asean.

Ismail Sabri yang juga bekas naib presiden Umno itu juga yakin pendirian Malaysia dalam isu Palestin tidak pernah berubah dan kekal konsisten menentang kekejaman Israel.

“Malaysia dari dahulu sampai sekarang konsisten menentang Israel dan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Kegagalan dunia menangani kekejaman Israel berpunca daripada kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sering digunakan AS bagi menolak sebarang resolusi melibatkan Israel.

“Semasa menjadi perdana menteri, saya berucap di PBB supaya kuasa veto dihapuskan kerana ia menyebabkan semua keputusan terhadap Israel gagal dan selagi ada kuasa itu, apa sahaja diputuskan akan dibantah AS,” katanya.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan tidak perlu menarik balik jemputan terhadap Trump untuk mengelakkan sebarang tindak balas oleh pemimpin berkenaan.

“Adakah dia akan bertindak balas kepada kita? Kamu tahu Trump. Dia akan bertindak balas, sama ada dia akan letak tarif 90% ataupun dia akan buat sekatan baharu, dia akan buat.

“Sebab bagi dia, tidak ada masalah, Malaysia ini kecil sahaja. Jadi dia kata, okay awak tarik balik jemputan , jadi saya akan naikkan tarif sehingga 90 peratus,” katanya dalam program Audio Siar Keluar Sekejap.

Antara yang membantah kehadiran Trump ke Malaysia termasuk Presiden PAS Hadi Awang dengan mendakwa pemimpin itu terbukti bersekongkol dengan Israel melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.