‘Keep Malaysia Clean’ diperkenal, bina budaya tolak rasuah

‘Keep Malaysia Clean’ diperkenal, bina budaya tolak rasuah

KMC satu pelan induk nasional yang dirangka SPRM bersama Panel Perundingan Pencegahan Rasuah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di majlis pelancaran ‘Keep Malaysia Clean’.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif ‘Keep Malaysia Clean’ (KMC) iaitu platform strategik bagi menggerakkan masyarakat daripada peringkat prasekolah hingga ke alam pekerjaan, untuk membina budaya ‘civic-minded society’ yang menolak rasuah.

Dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-58 dan pelancaran KMC, Anwar berkata insiatif baharu itu bakal mengembalikan imej Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti dan bermaruah.

“Keep Malaysia Clean bersama SPRM. Itu sesuatu yang amat mendalam, berkesan dan berani untuk mengembalikan imej unggul Malaysia sebagai sebuah negara hebat,” kata Anwar.

KMC, satu pelan induk nasional yang dirangka SPRM bersama Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang diketuai pengerusinya, Yasmin Ahmad Merican.

KMC yang dilahirkan berasaskan aspirasi negara untuk memupuk budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti itu, akan berpaksikan tiga tonggak utama ‘Nilai Murni’, ‘Masyarakat Murni’ dan ‘Alam Murni’.

la merupakan seruan kepada rakyat untuk menegakkan integriti dalam setiap pilihan harian, memilih jalan yang benar, dan memelihara Malaysia yang berteraskan nilai untuk generasi akan datang.

Yasmin dalam kenyataan berkata KMC bukan pendekatan baharu dalam pencegahan rasuah, sebaliknya satu platform kebangsaan yang melengkapi inisiatif tempatan dan antarabangsa sedia ada, diperkukuh oleh idea, sumbangan serta semangat murni rakyat.

“Program ini akan dilaksanakan secara berfasa membabitkan aspek ‘Kesedaran’, ‘Tindakan’ dan ‘Kelestarian’, yang dirangka untuk menggalakkan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata perkembangannya akan dipantau secara bebas oleh PPPR, dengan pelaporan tahunan yang telus mengenai tahap penyertaan, impak serta hasil yang dicapai.

“PPPR menegaskan bahawa kejayaan KMC tidak akan diukur melalui kata-kata semata-mata, tetapi melalui penglibatan aktif, pemilikan bersama oleh komuniti, serta perubahan jangka panjang ke arah membina budaya integriti nasional.

“Usaha kolektif ini diharapkan dapat menyumbang secara positif kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah, yang pada masa ini mash berada di pertengahan tangga penilaian kepercayaan global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.