Industri pelancongan desak bajet lebih besar, insentif tambahan menjelang TMM 2026

Industri pelancongan desak bajet lebih besar, insentif tambahan menjelang TMM 2026

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan serta Persatuan Hotel Malaysia bersetuju TMM2026 patut menjana kesan limpahan berkekalan.

Pemain industri pelancongan berkata kempen TMM2026 hanya akan berjaya dengan peruntukan sewajarnya, insentif saksama dan penyampaian dana berkesan.
PETALING JAYA:
Pemain industri pelancongan menggesa kerajaan memperluaskan peruntukan serta memperkenalkan insentif bersasar dalam belanjawan 2026 untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), dengan menekankan kempennya perlu memberi kesan jangka panjang.

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (Matta) serta Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bersetuju TMM2026 patut menjana kesan limpahan berkekalan, menggalakkan lawatan berulang dan mewujudkan peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor.

Menurut mereka, TMM2026 hanya boleh berjaya sekiranya peruntukan mencukupi, dengan insentif saksama dan dana disampaikan secara berkesan.

Presiden Matta, Nigel Wong, berkata usaha mempromosi TMM2026 di luar negara lebih mahal akibat nilai ringgit lebih lemah, justeru beliau menggesa kerajaan menggandakan peruntukan untuk pemasaran antarabangsa.

“Kita mendapat kurang nilai untuk wang hari ini. Belanjawan lebih besar penting dalam memastikan penjenamaan Malaysia disampaikan sebaiknya, khususnya bagi pasaran utama seperti China dan India,” katanya kepada FMT.

Beliau memuji geran kebudayaan dan promosi seperti Gamelan, GSSP serta GSSK dalam menyokong acara tempatan, persembahan budaya dan tarikan pelancongan, namun wujud masalah berterusan dalam pengagihan dana yang dilihat disukarkan akibat kerenah birokrasi.

Wong berkata, pendanaan tidak sepatutnya tertumpu aspek promosi, sebaliknya perlu menangani cabaran industri sejak sekian lama, khususnya penipuan dan pengendali tidak berlesen.

Beliau memberi amaran agensi pelancongan haram, pemandu pelancong dan pemandu e-panggilan yang tidak dikawal selia menjejaskan syarikat berlesen dengan menawarkan perkhidmatan meragukan.

“Mereka menawarkan harga terlalu rendah berbanding pemain industri sah yang mencemarkan reputasi Malaysia. Peruntukan belanjawan mesti merangkumi usaha ke arah menghapuskan amalan ini.”

Wong turut mencadangkan insentif cukai untuk agensi persendirian dan pengendali pelancongan berjaya menarik kumpulan pelancong besar. Menurutnya, sistem saraan harian atau pelepasan cukai dapat membantu mengimbangi kos promosi tinggi ditanggung pengendali persendirian.

Katanya, peruntukan juga patut disalurkan kepada majlis perbandaran untuk membaiki kemudahan pelancongan seperti pencahayaan, laluan pejalan kaki dan sistem pengangkutan awam, dengan langkah khas patut diperkenalkan di pusat bandar bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Menurutnya, tapak warisan khususnya bangunan ikonik di Kuala Lumpur dan bandar utama lain patut menerima lebih banyak dana untuk pemulihan serta penyenggaraan.

Katanya, satu lagi cara memaksimumkan pulangan adalah mempromosikan Malaysia sebagai hab transit, di mana kerajaan bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk menggalakkan persinggahan semalaman, seterusnya menjadikan pengembara transit sebagai pelawat jangka pendek.

Presiden MAH, Christina Toh, menggesa insentif cukai – yang kini terhad kepada hotel satu hingga tiga bintang – diperluaskan kepada hotel empat serta lima bintang.

Memetik kekurangan tenaga kerja dalam sektor perhotelan, beliau mencadangkan geran untuk pendigitalan perkhidmatan, seperti kios dengan sistem daftar masuk sendiri atau pembersih hampagas robotik bagi mengurangkan kebergantungan pekerja.

Beliau menggesa kerajaan menggalakkan pelancongan tempatan, dengan mencadangkan rebat cukai peribadi untuk rakyat Malaysia melancong dalam negara seperti dilakukan Putrajaya selepas pandemik Covid-19.

Toh turut mencadangkan kutipan cukai pelancongan diperluaskan dari hotel ke lapangan terbang bagi memastikan semua pelawat asing turut menyumbang, termasuk mereka yang menginap di Airbnb atau penginapan tidak formal.

Beliau menggesa kerajaan memperkenalkan insentif untuk hotel melaksanakan amalan ESG seperti menaik taraf alat pendingin mesra alam, memasang panel suria dan menyimpan air hujan.

“TMM2026 tidak patut dilihat sekadar kempen setahun, tetapi menegaskan semula apa yang boleh ditawarkan Malaysia kepada dunia – satu peringatan mengenai kekuatan kita.

“Pelancongan memacu pelbagai rantaian bekalan, mewujudkan peluang ekonomi, meningkatkan permintaan barangan pengguna laris dan memastikan kestabilan pekerjaan merentas industri.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Malaysia menyasarkan ketibaan 47 juta pelawat asing tahun depan. Malaysia merekodkan 38 juta pelawat asing pada 2024, meningkat 31.1% berbanding 2023.

Belanjawan 2025 memperuntukkan hampir RM550 juta untuk meningkatkan promosi dan aktiviti pelancongan bagi TM2026. Tambahan RM600 juta diperuntukkan bagi memulihkan tapak budaya utama di Kuala Lumpur dan RM110 juta untuk menambah baik kemudahan pelancongan, menyokong pencalonan Unesco bagi pelbagai tapak warisan dan memperkasakan kerjasama ekopelancongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.