Diplomasi lebih berkesan banding tolak kunjungan pemimpin dunia, kata mufti P Pinang

Diplomasi lebih berkesan banding tolak kunjungan pemimpin dunia, kata mufti P Pinang

Mohd Sukki Othman berkata diplomasi membolehkan mesej Islam didengar termasuk kepada Donald Trump yang akan ke Malaysia hujung bulan ini.

Donald Trump mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kehadiran pemimpin dunia ke Malaysia tidak semestinya tanda sokongan terhadap semua dasar mereka sebaliknya sebahagian daripada diplomasi yang membuka ruang untuk menyampaikan mesej penting termasuk isu Palestin.
Mohd Sukki Othman
Mohd Sukki Othman.

Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman, menegaskan Malaysia mempunyai tanggungjawab moral dan agama untuk bersuara menentang penjajahan serta penindasan.

“Diplomasi membolehkan mesej Islam didengar, kadangkala lebih berkesan daripada penolakan menutup ruang komunikasi,” katanya kepada FMT mengulas kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.

Menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Trump mengesahkan kehadiran ke persidangan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

PAS sebelum ini menentang keras jemputan kerajaan kepada Trump dengan Presiden Hadi Awang mendakwa pemimpin itu menyokong kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, pula mengumumkan parti itu merancang perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur sebagai tanda bantahan.

Bagaimanapun, Sukki berpendapat menolak pemimpin negara besar hanya kerana dasar tertentu adalah tindakan terlalu simplistik dan emosional.

“Islam mengajar kita membezakan antara menentang dasar zalim dengan kesediaan berdialog. Dengan cara ini, prinsip syariah terpelihara, keamanan negara terjamin, dan peluang kerjasama antarabangsa tetap terbuka,” katanya.

Ahmad Fauwaz Fadzil
Ahmad Fauwaz Fadzil.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, mengingatkan masyarakat tidak saling melabel hanya kerana berbeza pandangan mengenai kehadiran Trump.

“Kalau ada yang rasa tidak wajar, itu hak mereka. Tapi jangan sampai melabel orang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.