Bekas CEO saman 4As, dakwa difitnah jejas reputasi

Bekas CEO saman 4As, dakwa difitnah jejas reputasi

Khairudin Rahim berkata beliau mahu 'mengheret' bekas majikannya dan ketua pegawai eksekutif badan itu ke mahkamah kerana gagal patuh surat tuntutan.

Khairudin Rahim
Bekas ketua pegawai eksekutif Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia Khairudin Rahim memfailkan samannya di Mahkamah Shah Alam.
PETALING JAYA:
Bekas ketua pegawai eksekutif Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) telah menyaman badan terkemuka industri itu atas tuduhan memfitnah.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam, Khairudin Rahim turut menamakan Ketua Pegawai Eksekutif 4As Andrew Lee, sebagai defendan.

Saman itu difailkan menerusi peguamnya Thomas Phillip.

Khairudin berkata beliau memutuskan untuk ‘mengheret’ 4As dan Lee ke mahkamah selepas mereka gagal mematuhi surat tuntutan bertarikh 17 Julai, yang antara lain menuntut permohonan maaf secara terbuka serta ganti rugi, sebagai respon kepada kenyataan media dan memo yang dikeluarkan oleh 4As.

Dalam satu kenyataan, Khairudin turut berkata beliau menuntut agar 4As menurunkan kandungan berunsur fitnah itu daripada laman webnya.

“Ini adalah tentang mempertahankan maruah serta reputasi profesional saya yang tidak pernah tercalar selama lebih 50 tahun,” katanya, sambil menyatakan bahawa beliau tiada pilihan selain mengheret bekas majikannya ke mahkamah.

“Saya bertekad untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi menjelaskan perkara sebenar.”

Kenyataan media bertarikh 30 Mei 2025 yang disiarkan di laman web 4As itu, menurut Khairudin, mengandungi ‘kenyataan palsu, mengelirukan dan/atau berunsur fitnah terhadap dirinya’.

Memo tersebut pula dikeluarkan dan diedarkan kepada ahli-ahli 4As pada 16 Jun.

Beliau mendakwa memo dan kenyataan media itu memberi gambaran bahawa beliau enggan meneruskan tugas sebagai CEO 4As dan telah berbohong mengenai temubual dengan majlis persatuan itu sebelum pelantikannya pada 2015.

Memo dan kenyataan media itu juga menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak jujur serta tidak boleh dipercayai, katanya.

Khairudin mendakwa kenyataan tersebut telah menjejaskan kredibiliti dan reputasinya secara serius dalam industri pengiklanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.