Utama keselamatan siber dalam Belanjawan 2026, kata pakar

Utama keselamatan siber dalam Belanjawan 2026, kata pakar

Pakar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Leong Kok Wey dan Nur Surayya Saudi berkata meningkatkan kemampuan di ruang siber sama penting dengan pertahanan udara dan laut.

cybersecurity
Sistem keselamatan siber yang kukuh boleh menjadi barisan hadapan perlindungan terhadap ancaman moden, kata pensyarah kanan UPNM, Nur Surayya Saudi. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Dua pakar keselamatan menyeru keupayaan siber Malaysia diberi keutamaan dalam Belanjawan 2026 bagi belanja pertahanan.

Pengarah Pengajian Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leong Kok Wey, berkata pengukuhan keselamatan siber perlu menjadi sebahagian strategi lebih menyeluruh merangkumi sistem pertahanan udara jarak sederhana (Merad) dan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) untuk tentera laut.

Leong Kok Wey
Leong Kok Wey.

Leong berkata, perbelanjaan pertahanan negara mesti kekal konsisten walaupun tanpa ancaman segera, memandangkan konsistensi sedemikian menghantar isyarat jelas mengenai kehendak politik kepada pihak sekutu termasuk pihak berpotensi menjadi lawan.

“Anda tidak pernah dapat pastikan bila pihak lawan akan bertindak membahayakan negara kita, atau bila pula keupayaan pertahanan diperlukan bagi halang musuh berbuat sedemikian. Antara elemen utama dalam dasar pertahanan Malaysia adalah berteraskan strategi pencegahan berpusat.

“Pencegahan hanya berkesan jika kita mengekalkan kekuatan ketenteraan secukupnya untuk menjadikan sebarang tindakan agresif sebagai sesuatu yang mengundang padah dan sukar dilakukan,” katanya.

Pensyarah kanan UPNM, Nur Surayya Saudi, berkata pertahanan siber dan udara sama-sama penting, dengan menggambarkan ruang siber sebagai barisan perlindungan utama terhadap ancaman moden.

Nur Surayya Saudi
Nur Surayya Saudi.

Nur Surayya memberi amaran serangan siber mampu melumpuhkan sistem kewangan, rangkaian tenaga, komunikasi, malah operasi ketenteraan tanpa sebarang pencerobohan fizikal.

Beliau berkata, belanja pertahanan juga perlu mengimbangi teknologi dengan kebajikan anggota, disiplin, dan latihan.

“Kekuatan sebenar pertahanan datang daripada semangat dan kemahiran mereka yang mengendalikan sistem itu,” katanya.

Nur Surayya berkata, perbelanjaan teknologi perlu memberi tumpuan kepada kenderaan udara tanpa pemandu, kecerdasan buatan, sistem berperisai modular, serta platform bagi peperangan siber dan elektronik.

Beliau turut menggesa penggunaan petunjuk prestasi utama (KPI), audit, dan belanjawan berasaskan hasil bagi memastikan kebertanggungjawaban.

Menurutnya, belanjawan pertahanan perlu dianggap sebahagian strategi keselamatan negara bertujuan mengubah angkatan tentera menjadi pasukan moden dan bersepadu, dilengkapi untuk menghadapi cabaran masa depan serta mampu menangkis ancaman konvensional dan hibrid.

Kedua-dua pakar itu juga berkata, Belanjawan 2026 mesti mencapai keseimbangan antara pelaburan dalam teknologi, anggota, dan keupayaan strategik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.