
Dalam kenyataan, Kementerian Luar berkata pelan itu, yang dinanti-nantikan masyarakat antarabangsa merupakan langkah penting ke arah menamatkan segera jenayah genosid, kebuluran, dan kemusnahan di Gaza.
“Malaysia berharap pelan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, seterusnya membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, pengunduran pasukan Israel, kepulangan pelarian dan rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa, serta pembinaan semula Gaza,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar menegaskan perlunya pelaksanaan pelan tersebut selaras undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan resolusi berkaitan, selain perlindungan kepada rakyat Palestin serta menangani isu keadilan dan akauntabiliti.
“Semua ini adalah penting untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, keselamatan serta kestabilan untuk semua pihak di rantau berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar berkata, Malaysia bersedia bekerjasama dengan AS dan anggota masyarakat antarabangsa lain dalam menyokong usaha murni mencapai keamanan di Gaza, memastikan pengintegrasian Gaza dengan Tebing Barat serta merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Pada Isnin, Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan perang Israel di Semenanjung Gaza yang terkepung.
Pelan itu termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, dan pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin tanpa kaitan politik untuk mentadbir enklaf itu, menurut laporan Anadolu Ajansi.