
Tegasnya, ruang dialog perlu kekal antara aparat utama untuk menjamin keamanan bagi rakyat Palestin.
“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman,” katanya dalam catatan di Facebook.
Selain itu, Anwar turut mendoakan kesejahteraan buat pasukan sukarelawan dari Malaysia serta keseluruhan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang berlayar ke Gaza.
Katanya, kerajaan Malaysia kekal mendukung dan sentiasa bersama pasukan misi itu bagi memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza.
“Apa yang utama ialah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak, dan dijangka mula memasuki zon merah pada esok hari.
“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turki, Itali, dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga. Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak pada peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global.”
Perdana menteri berkata, 34 rakyat Malaysia yang menyertai pasukan itu juga tentunya terpahat dalam catatan sejarah demi menegak keadilan dan membela kemanusiaan.
“Justeru, hari-hari yang mendatang ternyata mencabar. Musuh mungkin menggertak, menyerang. Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan,” katanya.