Jangan panik jika harga di pam tak tunjuk RM1.99, pengguna diberitahu

Jangan panik jika harga di pam tak tunjuk RM1.99, pengguna diberitahu

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia beri jaminan rakyat Malaysia yang layak akan terima subsidi minyak BUDI95.

budi95
Kementerian Kewangan menasihatkan pengguna supaya tidak perlu bimbang mengenai perbezaan antara harga pada paparan di pam minyak dan di resit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengusaha stesen minyak meminta pelanggan supaya tidak panik sekiranya paparan di pam menunjukkan harga penuh RON95 ketika mengisi minyak bersubsidi itu.

Rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi hanya akan membayar RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang dilaksanakan sepenuhnya hari ini.

Warga asing dan kenderaan berdaftar luar negara perlu membayar harga minyak tanpa subsidi.

“Paparan pam akan menunjukkan harga runcit terkini tetapi pengguna yang layak akan menerima subsidi secara automatik.

“Jangan panik, pengesahan pra-bayaran dan resit akhir akan menunjukkan jumlah yang ditolak (subsidi),” kata Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz kepada FMT.

Khairul, yang mewakili lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara, berkata pengguna yang memerlukan penjelasan lanjut boleh menghubungi khidmat pelanggan stesen berkenaan.

Kementerian Kewangan dalam ‘Soalan Lazim’ mengenai BUDI95 sebelum ini turut menjelaskan bahawa pengguna tidak perlu bimbang mengenai perbezaan antara harga pada paparan di pam dan di resit.

Sebagai contoh, katanya, jika harga runcit pada paparan menunjukkan RM2.60 seliter, rakyat Malaysia hanya akan membayar RM1.99.

Terdahulu semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa harga tanpa subsidi RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi sepanjang Oktober, iaitu kenaikan 55sen berbanding kadar semasa RM2.05 seliter.

Di bawah inisiatif BUDI95, warganegara berusia 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati kadar subsidi, dengan pengesahan dilakukan melalui MyKad, sama seperti mekanisme pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Setiap pengguna layak menikmati 300 liter petrol RON95 bersubsidi sebulan, kecuali perkhidmatan e-Panggilan yang dikecualikan daripada had ini.

Semakan kelayakan BUDI95 boleh dibuat secara dalam talian mulai Khamis melalui www.budimadani.gov.my di pusat khidmat pelanggan BUDI95, atau menerusi aplikasi Setel dan CaltexGO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.