Fokus kes mahkamah, bukan serang pimpinan, Wan Saiful diberitahu

Fokus kes mahkamah, bukan serang pimpinan, Wan Saiful diberitahu

10 Adun Bersatu Selangor berkata Wan Saiful Wan Jan wajar menjawab pertuduhan menggelapkan wang di mahkamah.

Wan Saiful Wan Jan
10 Adun Bersatu Selangor mendakwa Wan Saiful Wan Jan cuba mengalih perhatian daripada kes mahkamahnya dengan mengungkit semula tuduhan lama terhadap Azmin Ali.
PETALING JAYA:
10 Adun Bersatu Selangor menggesa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menumpukan perhatian kepada kes mahkamahnya daripada menyerang pemimpin parti dengan tuduhan tidak berasas.

Dalam kenyataan bersama, mereka mengecam sidang media Wan Saiful bersama beberapa ketua bahagian semalam yang didakwa cuba mengalih perhatian daripada kegagalan ‘komplot jahat’ menjatuhkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin melalui gerakan akuan berkanun (SD).

“Sebaliknya, perkara yang sewajarnya diberi perhatian adalah kes dia sendiri. Wan Saiful bukan sahaja telah disiasat, malah kini berdepan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan wang jutaan ringgit.

“Pendakwaan ini membuktikan pihak berkuasa mempunyai asas kukuh dan beliau wajar menjawab pertuduhan itu di muka pengadilan, bukannya menyerang pihak lain dengan tuduhan tidak berasas,” kata mereka.

Adun terbabit ialah Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Kuang), Rosnizan Ahmad (Morib), Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis), Dr Afif Bahardin (Taman Medan), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan Harrison Hassan (Jeram),.

Jamil Salleh (Dengkil), Noorazley Yahya (Bukit Melawati), Nurul Syazwani Noh (Permatang) dan Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali).

Wan Saiful yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu sedang berdepan pendakwaan di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram dan rasuah projek Jana Wibawa.

10 Adun terbabit turut menolak tuduhan terhadap Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali yang disifatkan sebagai fitnah lama yang sudah disiasat polis selama lapan bulan sebelum peguam negara memutuskan tiada asas untuk pendakwaan pada 2020.

“Penipuan tidak boleh ditutup dengan siri penipuan baru,” tegas mereka sambil mendesak Lembaga Disiplin mempercepatkan tindakan tegas termasuk pemecatan Wan Saiful dan mereka yang didakwa bersekongkol dengannya.

Semalam, Wan Saiful mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi ‘video’ didakwa membabitkan dirinya belum selesai kerana skandal moral tidak boleh diterima dalam parti itu.

Pada 2019, beberapa klip video tular didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan songsang di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.

Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR Santubong ketika itu mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.