BUDI95: Jualan petrol lebih RM91 juta dalam 4 hari

BUDI95: Jualan petrol lebih RM91 juta dalam 4 hari

Setakat 6 petang tadi, kira-kira dua juta pengguna manfaatkan pembelian minyak RON95 pada harga subsidi RM1.99 sen seliter.

ic isi minyak
Menerusi BUDI95, 16 juta rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif layak nikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) mencatat hampir tiga juta pengguna dengan jualan melebihi RM91 juta dalam tempoh empat hari, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Setakat 6 petang tadi, kira-kira dua juta pengguna telah memanfaatkan pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 sen, yang dibuka sepenuhnya kepada warganegara Malaysia bermula hari ini.

“Alhamdulillah, pergerakan yang kita nampak hari ini pun lancar. Tidak ada banyak orang yang merungut,” katanya pada sesi tinjauan pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Sri Hartamas hari ini.

“Pergerakan kenderaan juga mungkin lebih daripada biasa kerana ramai teruja dapatkan harga minyak yang lebih rendah.”

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pemilik bot menerima inisiatif BUDI95.

“Kita juga ada dengar daripada mereka yang ada bot dengan enjin sangkut, mereka tak dapat subsidi. Dari segi dasarnya, kita bersetuju untuk mereka dapat kelayakan dengan tahap kelayakan yang akan ditentukan.

“Jadi, kita sedang berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak, data-data daripada pemilik bot ini akan dimasukkan dalam sistem dan mereka juga akan dapat kelayakan,” katanya.

Selain itu, Amir Hamzah menjelaskan, kelonggaran turut diberikan kepada mereka yang lesen memandunya telah tamat tempoh kurang tiga tahun.

“Kita masih berikan BUDI95 dan galakkan mereka mbaharui lesen kerana yang penting lesen mereka sah apabila membawa kereta,” katanya.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 27 Sept dengan 300,000 anggota polis dan tentera, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad.

Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding dengan harga pasaran semasa RM2.05 seliter.

Setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 Sept hingga 8 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.