
Ketua Sayap Bersekutu Selangor, Goh Gaik Meng, berkata di bawah kepimpinan Azmin, Perikatan Nasional (PN) mencatat pencapaian amat memberangsangkan dengan menang 22 kerusi dan hampir menawan Selangor pada PRN yang lalu.

Azmin, menurut Goh berjaya menyusun semula barisan pimpinan PN Selangor dengan wajah dan semangat baharu selepas mengambil alih jawatan daripada Abdul Rashid Asari.
“Jelas, beliau adalah tokoh paling layak dan berkemampuan memimpin Bersatu serta merealisasikan impian rakyat untuk melihat PN menerajui Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Goh berkata, rakyat Selangor masih mengingati jasa Azmin semasa beliau menerajui pentadbiran negeri dengan melaksanakan inisiatif air percuma dan pengecualian cukai pintu di kawasan tertentu.
“Kami menegaskan bahawa Bersatu dan PN berada di landasan tepat untuk menawan Selangor, dan kesepaduan di bawah Azmin adalah kunci kemenangan.”
Semalam, Ahli MPT Wan Saiful Wan Jan mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin parti selagi mana kontroversi video yang didakwa melibatkannya tidak diselesaikan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor bercadang merujuk Azmin ke Lembaga Disiplin berkait dakwaan ugutan terhadap pemimpin bahagian yang kononnya merancang menyingkirkan Muhyiddin Yassin sebagai presiden.
Reaksi ke atas perkara itu, beberapa Adun menggesa diambil tindakan ke atas Wan Saiful.
Goh mendakwa, individu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah jelas terhadap Azmin mempunyai agenda tersembunyi yang hanya akan menjejaskan peluang Bersatu dan PN.
“Sayap Bersekutu sendiri pernah melalui pengalaman pahit dengan pihak tersebut semasa pilihan raya lepas, termasuk menerima pelbagai ugutan. Perkara ini telah pun saya laporkan kepada pucuk pimpinan.”