Wan Saiful akan lapor Azmin, Tun Faisal kepada Lembaga Disiplin Bersatu

Wan Saiful akan lapor Azmin, Tun Faisal kepada Lembaga Disiplin Bersatu

Ahli MPT Bersatu dakwa Azmin Ali, Tun Faizal Ismail Aziz sebar naratif songsang berhubung SD ditandatangani ketua bahagian.

Wan Saiful Wan Jan
Ahli MPT Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau akan lapor Azmin Ali dan Tun Faizal Ismail Aziz kepada Lembaga Disiplin parti kerana sebar naratif songsang
KUALA LUMPUR:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan akan melaporkan Azmin Ali dan Tun Faizal Ismail Aziz kepada Lembaga Disiplin parti kerana didakwa sengaja menyebarkan naratif songsang berhubung usaha mengumpul akuan berkanun (SD).

Wan Saiful berkata, SD yang ditandatanganinya bersama 119 ketua-ketua bahagian lain menyokong isu calon perdana menteri tidak dibincangkan secara terbuka dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), memandangkan ia bersifat sensitif.

“Namun SD yang ditularkan itu tidak sama dengan apa yang kami tandatangani,” katanya dalam sidang media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.

“Kami siap letakkan syarat bahawa presiden mesti terus di depan. Di mana salahnya kandungan dokumen? Tiada satu ayat pun menolak presiden (Muhyiddin Yassin).”

Beliau turut mendedahkan bahawa dua ketua bahagian, Suhaimi Ghazali (Sepang) dan Shukri Mustafa (Puchong), diugut ketika perjumpaan bersama Azmin, yang juga setiausaha agung, pada 19 Ogos lepas.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin itu diugut kononnya tidak akan mendapat watikah calon untuk bertanding pada pilihan raya jika tidak menarik balik SD yang didakwa mahu menjatuhkan Muhyiddin.

“Sudah pasti mereka tak setuju untuk tarik balik sebab dokumen itu bukan nak jatuhkan presiden,” katanya.

“Tetapi Azmin berkeras dengan ugutan itu, selain berkata saya (Wan Saiful) sendiri tak akan jadi calon … seolah-olah beri gambaran beliau pegang kuasa presiden untuk memutuskan calon pilihan raya.”

Wan Saiful berkata, selain menyebarkan naratif songsang, Tun Faisal selaku ketua penerangan pula menjadi ‘kepala batu api’ mengeluarkan kenyataan tanpa menghubunginya untuk mengesahkan kandungan sebenar SD itu.

Tambahnya, beliau akan berjumpa dengan Muhyiddin pada Rabu untuk memberi penjelasan berhubung SD itu, kerana menurutnya presiden Bersatu itu sendiri belum sempat menelitinya.

Khamis lepas, Wan Saiful dilaporkan mengesahkan terdapat usaha mengumpul SD daripada ketua bahagian menjelang PAT pada 9 Sep lepas, namun ia ‘diputar belit’ pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar.

Beliau turut mengesahkan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin di bawah Perkara 23 perlembagaan parti itu kerana didakwa mengumpul SD bagi mendesak Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin menerajui Bersatu, namun ia ditangguhkan.

Muhyiddin kemudian mendedahkan dalam ucapan dasarnya ketika PAT bahawa terdapat komplot mengumpul tandatangan untuk menggulingkannya.

Bagaimanapun, pada perhimpunan itu, perwakilan sebulat suara mengesahkan beliau sebagai calon perdana menteri parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.