
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu lahir daripada kesedaran tekanan kerja tidak berhenti di pintu kilang atau pejabat, terutama dengan corak kerja fleksibel dan jarak jauh yang kini semakin meluas.
“Pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti kehidupan dan corak kerja masa kini.
“Lebih penting, ia akan meluaskan perlindungan sepanjang masa, mengiktiraf bahawa kemalangan dan kecederaan tidak mengenal waktu,” katanya menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025.
SKBBK diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menurut Anwar, kerajaan juga sedang membangunkan sistem digital bagi memastikan perlindungan dapat disampaikan dengan lebih berkesan, selain menjamin tiada pekerja terpinggir.
“Kemajuan sedang berjalan, meskipun belum sempurna. Namun keyakinan kami jelas, kemakmuran sejati bukan diukur melalui ketinggian bangunan pencakar langit atau saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi melalui maruah hidup rakyat,” katanya.
Pada Februari lalu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan pihaknya menyasarkan pengenalan undang-undang SKBBK tahun ini.
Menterinya Steven Sim berkata kementerian sedang meminda akta berkaitan selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada tahun lepas.
KESUMA dilaporkan berhasrat melaksanakan SKBBK bagi memastikan perlindungan menyeluruh kepada pekerja yang layak — 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tempoh penggajian.