
Katanya, program All Star Influencers Fam Trip 2025 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini berjaya mengetengahkan keunikan destinasi negara secara digital kepada jutaan penonton di seluruh dunia.
Seramai 30 pempengaruh dari 12 negara termasuk Jepun, Korea Selatan, India, Singapura dan Malaysia menyertai program itu, yang setakat ini mencatat lebih 620 juta tontonan di pelbagai platform media sosial dalam tempoh tiga bulan.
“Angka ini bukan sahaja mengatasi 518 juta tontonan sepanjang tahun lalu, malah dijangka menyumbang pulangan ekonomi sehingga RM3.7 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tiong, pendekatan digital mampu melonjakkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa, selain memperkukuh jenama pelancongan negara.
Siri jelajah ASIA2025 sebelum ini singgah di Johor, Pahang, Melaka, Selangor, Langkawi dan Pulau Pinang, dengan destinasi seperti Rumah P. Ramlee, Bukit Bendera, Armenian Street dan Nasi Kandar dipromosikan.
Program itu akan berakhir di Sabah pada Oktober, menampilkan keindahan alam semula jadi dan budaya Borneo.