
Menurut Anwar, kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan caj itu hanya selepas rangkaian sistem pengangkutan awam negara berada pada tahap baik dan menyeluruh.

“Sesetengah negara mengenakan bayaran lain untuk masuk ke kota, tetapi kita tidak mencadangkan perkara itu kerana ia mungkin membebankan.
“Namun, jika rangkaian pengangkutan awam di kota besar adalah menyeluruh dan baik, barulah kita harus memikirkan perkara itu,” katanya berucap merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
Anwar bagaimanapun tidak menyebut nama caj terhadap kenderaan persendirian yang memasuki bandar itu.
Pada 25 Feb lalu, Menteri i Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan sedang meneliti mengenakan caj kesesakan bagi mengurangkan jumlah kenderaan memasuki pusat bandar.
Menurutnya, inisiatif itu dipertimbangkan dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 untuk mengurangkan kesesakan waktu puncak.
Zaliha turut menjelaskan caj kesesakan ke atas pemandu untuk masuk ke bandar dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di ibu negara sehingga 20%.
TBG memulakan operasi rasmi pada 22 Mac lalu dan bakal menjadi hab utama bagi perjalanan bas ke Pantai Timur selain destinasi lain seperti negeri di utara.
Terminal itu juga menyediakan perkhidmatan bas antara bandar dan dihubungkan terus dengan stesen LRT Gombak serta stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak.