
Menurut Ram Singh, peguam yang mewakili seorang saksi kanak-kanak, memandangkan masih ramai saksi belum memberi keterangan, Mahkamah Koroner juga dijangka bersidang sepanjang tempoh PRN17 Sabah.
“Kami ada buat penilaian berapa ramai saksi lagi perlu dipanggil dan dalam hal ini kami mungkin tambah seorang lagi. Besar kemungkinan kami akan panggil seorang lagi pakar,” katanya pada sidang media selepas tamat prosiding inkues, lapor Berita Harian.
“Peguam keluarga Zara juga ada sebut berapa saksi mereka mahu, ditambah lagi dengan peguam lain. Jadi cara kes ini berjalan mungkin akan melangkaui tempoh pilihan raya, Disember pun tidak habis.”
DUN Sabah dijangka dibubarkan pada akhir Oktober atau awal November, iaitu sebelum tarikh tamat DUN semasa yang dijadual pada 11 Nov.
Sehubungan itu, PRN17 mungkin diadakan pada akhir November atau awal Disember, tertakluk kepada kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Terdahulu, rakan guaman Ram, Joan Goh berkata, berdasarkan analisis Koroner Amir Shah Amir Hassan, prosiding inkues itu baru berjalan setakat 19% setakat ini.
“Berdasarkan senarai saksi yang kita terima … sekarang kita baru ada 14 daripada 68 saksi, jadi baru sekitar 19% kes ini (berjalan),” katanya.
Prosiding yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi menentukan punca kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha itu dimulakan pada 3 Sept lepas.