
Lai, pengasas firma e-dagang Monspace (M) Sdn Bhd, menyaman Lim pada 2019 selepas menuduh beliau dan syarikatnya menjalankan perniagaan haram serta menipu pelabur Cina.
Pada 2023, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada Lai dan menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM2 juta.
Menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata jumlah itu adalah ‘terlalu tinggi’ dan tidak selaras dengan amalan dalam kes-kes fitnah.
Panel itu memerintahkan Lim membayar RM50,000 kepada Lai dan RM25,000 kepada Monspace.
Mahkamah turut mengarahkan Lim membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Lai.
Sequerah berkata kenyataan Lim berdasarkan andaian serta menggambarkan Lai telah merasuah pegawai kerajaan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
“Defendan mengakui beliau tidak mengesahkan dakwaannya dengan plaintif sebelum membuat kenyataan tersebut. Tindakannya menunjukkan niat tidak baik dan kecuaian,” katanya.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Faizah Jamaludin.
Lim diwakili peguam SN Nair dan Guok Ngek Seong, manakala Lai diwakili Ivanpal Singh Grewal.