Bersemuka dengan Trump, Urimai seru PAS

Bersemuka dengan Trump, Urimai seru PAS

Naib Pengerusi Urimai David Marshel berkata selaku parti terbesar di Parlimen, PAS boleh desak kerajaan diadakan pertemuan bagi nyata pendirian berkait nasib rakyat Palestin.

abdul hadi awang donald trump
Awal hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempersoalkan justifikasi Malaysia menjemput Presiden AS Donald Trump hadir Sidang Kemuncak Asean ‘tidak boleh diterima akal yang sihat’.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Urimai menyeru PAS mendesak kerajaan mengatur pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa berada di Malaysia bulan depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean.

Naib Pengerusi Urimai, David Marshel, berkata kehadiran Trump di Malaysia memberikan PAS, selaku parti dengan jumlah kerusi Parlimen terbesar, peluang bersejarah menyampaikan pendirian tegas rakyat Malaysia menentang tindakan Israel di Gaza.

Katanya, lebih baik berinteraksi secara langsung dengan Trump berbanding menumpukan kepada bantahan besar-besaran bertujuan mendesak pembunuhan rakyat Palestin di Gaza dihentikan.

“PAS perlu mendesak kerajaan mengatur pertemuan sedemikian. Sekiranya kerajaan dan pembangkang dapat bersuara seiring dalam isu ini, mesej Malaysia kepada Washington dan masyarakat antarabangsa akan menjadi lebih kuat.

“Sekiranya pertemuan ini berlaku, ia bukan sahaja akan mengangkat PAS sebagai kuasa politik terbesar di Malaysia, tetapi juga membuktikan Malaysia boleh berdiri sebagai suara moral yang berprinsip di pentas antarabangsa.

“Kehadiran Trump di Malaysia adalah peluang yang jarang berlaku, dan PAS mesti bertindak tegas untuk menunjukkan keberanian dan kematangan politik,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang, mempersoalkan justifikasi Malaysia menjemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean, sambil menyifatkannya sebagai sangat rapuh dan ‘tidak boleh diterima akal yang sihat’.

Hadi turut melabelkan presiden AS itu sebagai ‘syaitan besar’.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan Malaysia perlu berhati-hati memilih rakan antarabangsa, dengan mengingatkan umat Islam tidak condong kepada golongan zalim yang boleh membawa padah kepada negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan jemputan kepada Trump, menyatakan Malaysia lantang dalam menyokong Palestin dan Gaza, dan akan menggunakan saluran diplomatik memperjuangkan isu tersebut.

Beliau menambah, Malaysia juga perlu ‘bijak dalam berkawan’ dan mempertimbangkan kepentingan ekonomi negara, terutamanya dalam eksport teknologi tinggi.

Sebagai pengerusi Asean, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober, dengan jemputan juga diberikan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.