SKMM ambil langkah pencegahan sekat propaganda Zionis

SKMM ambil langkah pencegahan sekat propaganda Zionis

Menteri komunikasi berkata, SKMM secara aktif teliti algoritma platform media sosial untuk sekat kandungan palsu yang mungkin dimainkan rejim Zionis.

DATUK FAHMI FADZIL
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pengendali platform media sosial akur dengan pendirian tegas Malaysia berhubung penyebaran propaganda rejim Zionis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil langkah pencegahan bagi memastikan propaganda Zionis tidak menembusi ruang siber negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, SKMM secara aktif meneliti algoritma platform media sosial bagi menyekat kandungan palsu atau mengelirukan yang mungkin dimainkan rejim itu.

Katanya, kerajaan turut mengadakan sesi libat urus dengan pengendali media sosial bagi menyampaikan pendirian tegas Malaysia tidak berkompromi dalam hal itu.

“Hasil libat urusan proaktif yang berterusan dengan platform-platform ini, kami percaya ia beri isyarat jelas bahawa Malaysia akan terus menangkis dan menghalang algoritma yang mengandungi propaganda rejim Zionis daripada menular di negara ini.

“Sebagai negara berdaulat, Malaysia berhak menyatakan pendirian, dan mereka (pengendali platform) akur dengan pandangan yang telah kami sampaikan,” katanya selepas melawat Pusat Gerakan Sumud Nusantara di Sepang hari ini, lapor Bernama.

Fahmi berkata, ketegasan kerajaan turut dizahirkan menerusi beberapa siri pertemuan dengan pengurusan TikTok berhubung isu pelantikan bekas pelatih Tentera Pertahanan Israel (IDF) sebagai pengurus kandungan di Amerika Syarikat.

“Keberadaan seorang individu yang pernah melatih pasukan IDF bukanlah mesej yang baik untuk ekosistem TikTok, maka kami telah tegaskan berhubung perkara itu,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak terpedaya dengan propaganda Zionis mengenai situasi di Palestin dan inisiatif Global Sumud Flotilla.

“Sebagai contoh, di beberapa negara, tular dakwaan kononnya beberapa kapal Global Sumud Flotilla diserang komando Israel, padahal perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.