PRN17: KDM umum bekas Adun DAP tanding di DUN Kapayan

PRN17: KDM umum bekas Adun DAP tanding di DUN Kapayan

Edwin Jack Bosi yang menang di DUN Kapayan pada PRU 2013 kembali bertanding di kerusi itu sebagai calon KDM pada PRN Sabah akan datang.

KDM melancarkan jentera PRN17 Kapayan di Hungab, Penampang, hari ini. (Gambar Warisan)
PETALING JAYA:
Bekas Adun DAP Kapayan Edwin Jack Bosi membuat penampilan semula di kerusi itu apabila diumum sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi PRN17 di Sabah.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden KDM Wetrom Bahanda, yang juga pengarah jentera pilihan raya parti, pada majlis pelancaran jentera PRN17 Kapayan di Hungab, Penampang.

Edwin Jack Bosi
Edwin Jack Bosi.

Edwin, yang menyertai KDM beberapa minggu lalu, sebelum ini dilantik sebagai ketua penyelaras parti itu di Kapayan.

Beliau menjadi Adun Kapayan selepas memenangi kerusi itu pada PRU 2013 namun keluar DAP, setahun sebelum PRU 2018.

Edwin mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) pada PRN16, namun tewas kepada Jannie Lasimbang dari DAP yang bertanding atas tiket Warisan.

Semalam, Wetrom turut mengumumkan tiga lagi calon KDM yang akan bertanding pada PRN17, iaitu bekas pemain bola sepak Sabah Henry Saimpon, penyanyi veteran John Samud dan bekas setiausaha tetap kewangan Sabah Rusdin Riman.

Sebelum ini, KDM juga sudah menamakan beberapa calon lain, termasuk Jeffry Mohd Ali (Kundasang), Dr Oswald Aisat Igau (Tulid), Dr Gaim Lunkapis (Tamparuli), Mckery Victor (Moyog) dan Almudin Kaida (Pintasan).

Penggal DUN Sabah akan tamat 11 Nov ini, jika tidak dibubarkan lebih awal, dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia dibubarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.