Pemain warisan: Tiada asas kesalahan dikenal pasti setakat ini, kata SPRM

Pemain warisan: Tiada asas kesalahan dikenal pasti setakat ini, kata SPRM

SPRM umum tiada sebarang asas kesalahan dikenal pasti berdasarkan semakan awal ke atas dokumen yang dibekalkan kepadanya.

macc sprm
SPRM tidak akan berhubung dengan Fifa dan menyerahkan sepenuhnya isu pendaftaran pemain warisan kepada FAM.
PETALING JAYA:
Tiada sebarang asas kesalahan dikenal pasti di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setakat ini, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan, menurut badan anti-rasuah.

SPRM mengumumkan perkara itu berdasarkan semakan awal ke atas beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan pemain-pemain terbabit, yang dibekalkan kepadanya hasil kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Berdasarkan semakan awal, SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini,” menurut kenyataan.

“Sehubungan itu, SPRM tidak akan berhubung dengan pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada pihak Persatuan Bolasepak Kebangsaan (FAM) untuk diselesaikan bersama Fifa.”

Dalam pada itu, SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung, dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak-pihak terlibat.

SPRM mengumumkan semakan semalam, selepas jawatankuasa tatatertib Fifa kelmarin mengumumkan FAM didenda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) kerana melanggar Artikel 22 kod tatatertib Fifa, yang berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang, dan digantung selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Sebelum itu, mereka beraksi dalam perlawanan kelayakan Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun, sempena Piala Asia 2027. Fifa menerima aduan mengenai kelayakan selepas perlawanan.

FAM dilaporkan akan merayu keputusan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.