
Menteri Fadhlina Sidek berkata laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut, serta memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Beliau berkata KPM sedang melaksanakan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah, dan pada masa sama perkara itu sememangnya berada dalam perhatian serta pemantauan jawatankuasa tersebut.
“KPM merakamkan takziah kepada keluarga mangsa, ini satu tragedi yang amat memberikan kesan kepada kita semua, khususnya menyentuh mengenai keselamatan anak-anak kita di sekolah,” katanya kepada pemberita di Kampung Masjid, Lenggeng.
Fadhlina serta Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Amzan Abd Malek, Pengarah JPNS Khalidah Omar serta beberapa exco kerajaan Negeri Sembilan menziarahi keluarga Abdul Fatah Khairol Rizal di kampung tersebut.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Arsyad Jahaya, 35, yang menyelam ke dalam saluran kumbahan bagi mengeluarkan Fatah.
Media melaporkan Fatah, murid Tahun 3, meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan, pagi semalam.
Susulan itu, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan semalam mengingatkan semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri, agar memastikan fasiliti sekolah sentiasa selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Nilai Supt Abdul Malik Hasim hari ini dilaporkan berkata setakat ini lapan saksi dipanggil untuk dirakam percakapan, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak.
Norfazila Md Lajin, 43, ibu kepada Allahyarham Abdul Fatah menghargai keprihatinan warga KPM dan orang ramai yang memberi sokongan moral kepada keluarganya.
“Menteri beritahu saya, pihaknya telah meminta pengarah pendidikan menguruskan aspek insurans dan menyiasat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
Norfazila yang kelihatan sugul dan amat merindui anak kesayangnya itu berharap perkara ini diambil tindakan segera oleh semua pihak berwajib, agar kejadian tersebut tidak berulang lagi.