
Peter berkata sebarang peruntukan yang diberikan kepada Sarawak perlu dibuat dalam semangat mengembalikan hak dan keistimewaan negeri itu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau juga menyifatkan royalti minyak dan gas sebanyak 5% pada masa ini sebagai ‘lapuk dan tidak adil’, sambil menegaskan royalti itu milik negeri, bukan kerajaan persekutuan.
“Di bawah MA63, Sarawak membantu membentuk Malaysia sebagai rakan kongsi, bukan hanya salah satu negeri.
“Peruntukan mesti mencerminkan MA63 serta keluasan tanah, keperluan infrastruktur dan jurang pembangunan bersejarah berbanding Semenanjung Malaysia.
“Autonomi yang lebih besar terhadap sumber adalah kunci untuk memulihkan hak Sarawak dan memastikan keadilan ekonomi,” katanya.
Sabah dan Sarawak masing-masing diperuntukkan RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion dalam dana pembangunan menerusi Belanjawan 2025, meningkat daripada RM6.6 bilion dan RM5.8 bilion dalam Belanjawan 2024.
Selain itu, geran khas sementara untuk Sabah dan Sarawak juga digandakan kepada RM600 juta setiap satu pada 2025 daripada RM300 juta sebelum ini.
Ketua penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani, turut menyuarakan kebimbangan yang sama bagi Sabah dalam Belanjawan 2026, dengan menuntut peruntukan yang mencerminkan kedudukan sebagai rakan setara.
Beliau juga mendesak penjelasan mengenai Akta Laut Wilayah, serta kebertanggungjawaban yang lebih baik dalam penyaluran bajet.
“Dana saering disalurkan lewat pada hujung tahun menyebabkan tiada masa untuk dibelanjakan. Peruntukan yang tidak digunakan seharusnya kekal dalam amanah di bawah Akta Peruntukan Kewangan 1957, bukan dipulangkan ke Putrajaya,” katanya.
Anuar juga berkata Sabah memerlukan berbilion ringgit untuk menangani banjir.
“Kita perlukan RM17 bilion untuk projek tebatan banjir, pengairan dan saliran bagi menangani kawasan mudah banjir di 11 daerah.
“Projek tebatan banjir amat penting. Sebanyak 14 nyawa hilang dalam banjir baru-baru ini. Berapa banyak lagi (nyawa perlu hilang) sebelum Sabah mendapat RM17 bilion untuk mengatasi masalah itu? Ini persoalan yang perlu dijawab kerajaan persekutuan,” katanya.
Anuar dan Peter menekankan kepentingan keperluan mendesak infrastruktur, termasuk klinik luar bandar, jalan raya, air bersih, bekalan elektrik dan ketersambungan digital.
“Tiada ibu yang harus menempuh perjalanan mengharungi sungai seharian hanya untuk berjumpa doktor,” kata Peter.
Anuar pula berkata jalan utama di Sabah, yang dibina beberapa dekad lalu, telah lama melepasi tahap kegunaannya.
Pada Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata 13 daripada 29 tuntutan oleh Sabah dan Sarawak di bawah MA63 telah diselesaikan, manakala baki 16 lagi sedang diteliti oleh jawatankuasa teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikannya.
Fadillah berkata tuntutan yang masih dalam semakan melibatkan isu berkaitan pendidikan, kesihatan, royalti minyak, bayaran tunai petroleum, mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), serta hak negeri terhadap pelantar benua.