
Pekan Ramli turut membandingkan kontroversi terbaru ini dengan skandal rasuah yang menyelubungi arena bola sepak Malaysia lebih 30 tahun lalu.
“Saya anggap ini satu musibah yang besar, sama seperti isu rasuah 1994 dahulu,” katanya, lapor Bernama.
“Bezanya ketika itu, ia hanya krisis dalaman, tetapi kali ini sampai ke Fifa. Imej kita pada peringkat antarabangsa tercalar teruk.”
Pada 1994, negara digemparkan dengan pendedahan skandal rasuah bola sepak berskala besar, yang menyaksikan ramai pemain serta jurulatih menerima sogokan untuk mengatur perlawanan.
Pekan memberi amaran tentang implikasi lebih buruk yang boleh terus menggugat masa depan bola sepak negara, termasuk kemungkinan kemenangan Malaysia ke atas Vietnam pada Piala Asia 2027 ditarik balik.
“Malah, ada kemungkinan FAM sendiri digantung seperti yang pernah berlaku kepada Indonesia sebelum ini,” katanya.
“Itu bala besar kepada bola sepak negara, kerana ia boleh menjejaskan liga, pembangunan akar umbi dan masa depan pemain muda.”
Semalam, dilaporkan FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tataterbit Fifa kerana didapati melanggar Artikel 22 kod tatatertibnya.
Menurut Fifa, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan itu.
Tujuh pemain dikenakan tindakan terdiri Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.
FAM bagaimanapun menerusi kenyataan memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Fifa itu.
Legenda bola sepak kebangsaan, Jamal Nasir Ismail, menyifatkan kontroversi itu jelas menimbulkan persoalan besar terhadap integriti FAM selaku badan pentadbir sukan paling popular di negara ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko FAM dikenakan penggantungan penuh.
“Kalau FAM digantung, habis liga tak boleh jalan. Pembangunan belia terhenti, program akar umbi beku, penaja pun tarik diri. Itu akan menghancurkan ekosistem bola sepak kita,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan ringkas hari ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, pihaknya akan meneliti implikasi mungkin timbul susulan tindakan Fifa terhadap FAM dan pemain terbabit.
Badan induk bola sepak serantau itu memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara itu dan kemungkinan kesan terhadap pertandingan kelolaannya.
“Pihak AFC akan mengkaji situasi ini secara terperinci selaras dengan peraturan yang relevan selepas prosiding Fifa selesai,” menurut kenyataan.