SPRM akan berhubung dengan Fifa berkait skandal FAM

SPRM akan berhubung dengan Fifa berkait skandal FAM

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata maklumat lanjut diperlukan mengenai dokumen didakwa dipalsukan melibatkan tujuh pemain.

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Pengarah Kanan Siasatan Zainul Darus akan ditugaskan menghubungi Fifa.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti laporan berhubung ‘pemalsuan dokumen’ melibatkan tujuh pemain dalam skuad Harimau Malaya.

Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, berkata Pengarah Kanan Siasatan Zainul Darus akan ditugaskan menghubungi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan itu.

“Ini bagi menentukan sama ada kesalahan itu termasuk dalam bidang kuasa SPRM,” katanya kepada FMT.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib Fifa memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta).

Manakala, tujuh pemain terbabit didenda 2,000 francs Swiss (RM10,400) setiap seorang dan digantung selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.

Pemain terbabit adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Mereka beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027  menentang Vietnam pada 10 Jun, sebelum Fifa menerima aduan berhubung kelayakan beberapa daripada mereka.

FAM mengesahkan menerima notis rasmi daripada Fifa berhubung dakwaan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa, berkaitan  pemalsuan dan penipuan dokumen.

Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata akan membuat rayuan terhadap keputusan Fifa dan menegaskan pihaknya serta pemain terlibat bertindak dengan niat baik dan penuh ketelusan sepanjang proses itu.

Julai lalu, satu laporan dari Indonesia mendakwa kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam mungkin dibatalkan kerana beberapa pemain warisan Harimau Malaya didakwa tidak layak mewakili negara. Laporan itu mendakwa keputusan akan dibatalkan dan Vietnam diberikan kemenangan 3-0.

FAM menolak laporan itu sebagai tidak berasas, menegaskan pihaknya telah mematuhi prosedur diperlukan untuk pendaftaran pemain.

Sembilan daripada 11 pemain kesebelasan utama dalam perlawanan itu adalah pemain naturalisasi, dengan lima daripadanya – Figueiredo, Holgado, Irazabal, Garces dan Machuca – menerima kelulusan Fifa hanya beberapa jam sebelum perlawanan bermula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.