
Pemangku Sultan Johor berkata, FAM sudah mengikuti proses dan kerjasama dengan Fifa serta kerajaan berhubung pendaftaran pemain malah diluluskan badan bola sepak dunia itu.
“FAM dah ikut proses dan kerjasama dgn Fifa & kerajaan Malaysia. Fifa pun dah ‘approve’ sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar now?
“Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan Fifa?” soal Tunku Mahkota Johor di X.
Dalam hantaran itu, TMJ turut berkongsi surat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang mengesahkan pemain terbabit menjalani dan mematuhi prosedur sah untuk memperoleh kewarganegaraan sekali gus layak mewakili Harimau Malaya.
“Lagi satu persoalan, hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab keputusan. Tambahan lagi Fifa cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam ‘public domain’ walaupun proses rayuan belum selesai.
“‘Who was in New York?’ Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin. Ini adalah surat pengesahan dari JPN.
“Takkan kita takut dan nak tunduk dgn individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” tulis TMJ.
FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan dengan Fifa bagi membolehkan tujuh pemain diturunkan dalam aksi menentang Vietnam pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun lalu.
Perlawanan itu berkesudahan Malaysia membelasah Vietnam 4-0.
Susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen, FAM didenda CHF350,000 (RM1.8 juta) dan tujuh pemain terbabit didenda 2,000 francs Swiss (RM10,400) setiap seorang.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Terdahulu, Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata akan membuat rayuan terhadap hukuman Fifa sambil menegaskan pihaknya dan pemain terbabit bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses itu.
FAM harus lengkap proses rayuan
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pihaknya memandang serius keputusan Fifa namun pada masa sama menghormati hak FAM untuk membuat rayuan.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk FAM melengkapkan proses rayuan itu.
“Kesan perkara ini bukan sahaja melibatkan tujuh pemain tetapi seluruh pasukan kebangsaan kita, ” katanya di Instagram.