
Beliau berkata, walaupun keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah hal antara dua badan itu, isu kewarganegaraan pemain tetap di bawah bidang kuasa kementeriannya.
“Prosesnya teliti. Jawatankuasa yang dipengerusikan ketua setiausaha akan menyemak setiap permohonan secara rapi,” katanya pada sidang media selepas satu acara di Sandakan, Sabah.
“Kita teliti semua dokumen yang dihantar seperti yang disyaratkan undang-undang, dan bagi kes ini, semua prosedur dipatuhi sepenuhnya.”
Tambahnya, perkara ini tertakluk di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu dilaporkan Fifa mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kebangsaan, mendakwa FAM mengemukakan dokumen yang dipinda untuk membolehkan mereka beraksi dalam kelayakan Piala Asia.
Pemain terbabit terdiri daripada Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcés, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Kesemua mereka diturunkan ketika menentang Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun, sebelum Fifa menerima aduan tentang status kelayakan mereka.
Lima daripada sembilan pemain naturalisasi dalam kesebelasan utama – Figueiredo, Holgado, Irazabal, Garces dan Machuca – diberi pelepasan oleh Fifa beberapa jam sebelum perlawanan.
FAM mengesahkan menerima notis rasmi daripada Fifa atas dakwaan melanggar Perkara 22 kod tatatertib berkaitan pemalsuan.
Pemangku Presiden FAM Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan membuat rayuan kerana semua prosedur telah dipatuhi, malah Fifa sendiri sebelum ini telah meluluskan kelayakan para pemain.